‘Dia belum bersalah, ini baru pertuduhan’ – Shukri





‘Dia belum bersalah, ini baru pertuduhan’ – Shukri
May 23, 2024


ARAU: “Dia belum salah lagi, ini baru pertuduhan, kita tunggu,” demikian kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli ketika ditanya mengenai pertuduhan tuntutan palsu membabitkan anak lelakinya.


Mohd Shukri memaklumkan, dia belum menghubungi Mohd Syafeeq, 35, berhubung pendakwaan yang dijalankan di Mahkamah Sesyen di Kangar, pagi tadi.

“Saya pun belum bercakap dengan dia lagi tapi saya serahkan semuanya pada dia dan peguam dia, inshaAllah”, katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussain, di sini.

Mohd Syafeeq membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim, Norsalha Datuk Hamzah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM19,000 pada Februari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Mengikut pertuduhan, Mohd Syafeeq dituduh memberi kepada seorang ejen iaitu Nurul Nabilah Mohd Shukri yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis satu dokumen iaitu Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis dengan niat memperdayakan prinsipalnya.

Pertuduhan itu menyebut bahawa dokumen bertarikh 14 Februari berjumlah RM19,505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid berkaitan Perkhidmatan Menyediakan Minuman untuk Kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah, di sini, yang berkenaan dengannya prinsipal itu mempunyai kepentingan.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi butir matan palsu yang dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipalnya dan perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 19 Februari lepas.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 Jun nanti untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan di mana pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

Ulasan