Dr Siti Mastura sedia lawan kes di mahkamah



Dr Siti Mastura sedia lawan kes di mahkamah
May 16, 2024

GEORGE TOWN: Kes saman fitnah tiga pemimpin DAP terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad akan dibicarakan di mahkamah ekoran gagal diselesaikan melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.


“Hasil mediasi semalam memang tiada penyelesaian, jadi kita akan lawan kes ini di mahkamah nanti,” kata Mastura ketika dihubungi _Harakahdaily_, hari ini.

Perkara yang sama juga turut dimaklumkan oleh peguam ketiga-tiga pemimpin DAP terbabit, Datuk S Nair sepertimana dilaporkan oleh media tempatan di sini, hari ini.

“Proses mediasi bermula jam 11 pagi tidak dapat mencapai persetujuan. Oleh itu, kes ini akan dibawa ke perbicaraan,” kata beliau dipetik laporan media berkenaan.

Dr Siti Mastura bersama peguamnya, Mohd Faizi Che Abu ketika proses mediasi tersebut, manakala untuk berbicaraan tersebut pihaknya belum dimaklumkan tarikh, walaupun media melaporkan perbicaraan akan dibawa ke 2 September depan.

Kes saman terhadap Mastura itu berhubung ucapannya dalam ceramah pada PRK Kemaman, 4 November tahun lalu mengaitkan beberapa pemimpin DAP terbabit.

Mereka dikatakannya mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Beliau telahpun menyerah segala bukti termasuk bahan-bahan rujukan berkenaan ucapan disampaikan itu semasa siasatan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 14 November tahun lalu.

Saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Guan Eng, Kit Siang dan Teresa Kok selaku plaintif pada 27 November tahun lalu. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

Ulasan