DUA DEKAD DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS



DUA DEKAD DEWAN HIMPUNAN PENDUKUNG PAS

Dewan Himpunan Pendukung PAS adalah merupakan salah sebuah sayap daripada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ia dianggotai oleh ahli parti tersebut yang terdiri daripada bukan Islam. Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat kini adalah N. Balasubramaniam. DHPP dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS, sebelum dinaik taraf sebagai Dewan pada 23 Mei 2010.

Cadangan Awal Bukan Islam sebagai Ahli Bersekutu

Isu keahlian bukan Islam dalam PAS telah dibincangkan sejak 3 Oktober 1956 lagi dan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Muhammad pernah mencadangkan pada 3 Disember 1961 supaya PAS menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Namun begitu, atas faktor politik Melayu ketika itu, cadangan ini ditangguhkan.

Masyarakat Bukan Islam sebagai sasaran dakwah dan politik.

Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 pada 17-19 April 1981 memutuskan supaya PAS mendekati bukan Islam sebagai strategi dakwah dan politiknya. Hasilnya, pada 1985, PAS telah menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC) sebagai wasilah PAS dengan masyarakat Cina, tetapi selepas Pilihan Raya Umum 1986, CCC telah berakhir.

Mendepani gelombang kebangkitan rakyat

Perubahan politik yang berlaku pada 1998 telah membawa kepada permintaan orang bukan Islam untuk menyertai PAS dan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor berjanji untuk PAS mengkaji semula kedudukan ahli bersekutu. Sebagai langkah awal, mulai 1999 telah ditubuhkan Jabatan Antara Budaya yang kemudiannya diserapkan dalam Lajnah Perpaduan Nasional. Ekoran tindakan DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada 2001, PAS mengambil langkah mewujudkan hubungan yang lebih rapat dengan orang Cina.

Penubuhan Kelab Penyokong PAS

Selepas pelancaran Dokumen Negara Islam (DNI) pada 12 November 2003, PAS telah mengadakan siri-siri penerangan tentang DNI yang turut melibatkan orang bukan Islam di Kelantan (12 Disember 2003), Terengganu (19 Disember 2003), Pahang (21 Disember 2003), Kedah (25 Disember 2003), Selangor (4 Januari 2004), Johor (25 Januari 2004) dan Perak (Februari 2004) sehingga akhirnya tertubuhnya Kelab Penyokong PAS (KPP). Antara program terawal melibatkan KPP ialah Majlis Muhibbah bersama Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Seremban pada 23 Februari 2004. Menjelang Pilihan Raya Umum 2004, Presiden PAS telah secara rasmi melancarkan KPP di Taman Melewar pada 11 Mac 2004.

Ketika KPP dilancarkan ini, kebanyakkan pendukung KPP adalah orang Cina. Kemudian, KPP berjaya diperluaskan kepada bangsa lain apabila KPP India ditubuhkan pada 2005 oleh Yb Gobalakrishnan Nagapan dengan tema dari bumi ke bulan, diikuti oleh KPP Iban (2006) dan KPP Siam (2007).

Pada 11 September 2007, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melancarkan logo KPP dengan Tema "PAS for All".

Konvensyen KPP

KPP melalui Lajnah Perpaduan Nasional telah berjaya mengadakan dua konvensyen, Pertama ialah pada bulan Disember 2007 di mana Pulau Pinang menjadi tuan rumah. Konvensyen yang diadakan di Red Rock Hotel itu telah menarik minat seluruh ahli KPP khususnya dari Kelantan. Bertemakan “Kerajaan berkebajikan untuk Semua”, konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden dan menjadi sepak mula pada kehangatan PRU yang bakal diadakan pada awal tahun 2008.

Konvensyen kedua ialah pada bulan Mei tahun 2009 diadakan di Kompleks Pejabat Tanah Kelang dengan tema “Stay United , Brave the Challenges" telah dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS. Hampir 1000 perwakilan hadir dan resolusi telah disepakati oleh semua perwakilan antaranya ialah. Menstrukturkan Semula Kepimpinan KPP, Mengemaskan Data Keahlian dan Memperkukuhkan KPP untuk dipertingkatkan peranannya dalam PAS.

Resolusi Konvensyen telah diadaptasikan dengan bantuan seluruh LPN negeri sehingga usaha-usaha tersebut terus dijalankan bagi membuka ruang kepada proses penyerapan KPP menjadi entiti sebuah Dewan dalam parti.

Perangkaan KPP menjadi Dewan

Melihat kesungguhan orang bukan Islam mendukung perjuangan PAS ini, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Oktober 2008 telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang diketuai oleh Ustaz Hassan Shukri untuk menggubal peraturan KPP sebagai sebuah Dewan. Dalam Retreat Pimpinan PAS Pusat di Langkawi pada 7-8 November 2008, sebuah cadangan dari Jawatankuasa Teknikal bertajuk "Keahlian Bukan Islam Dalam Organisasi PAS" telah diterima sebagai panduan, sebelum Jawatankuasa Kerja PAS Pusat meluluskan Aturan dan Peraturan DHPP pada 10 Januari 2010

Presiden PAS, YB Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah melancarkan secara rasmi penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Dewan Pejabat Tanah Klang, Klang sebagai sebuah sayap baru PAS yang dianggotai oleh para penyokong dari kalangan masyarakat bukan Islam pada 23 Mei 2010.

Kemudian, DHPP telah dijenamakan semula daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS kepada Dewan Himpunan Pendukung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 di Kelantan. Ia dirasmikan oleh Presiden PAS, YB Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Dua Dekad DHPP

Walaupun DHPP telah dilancarkan pada 23 Mei 2010 namun sejarah penubuhan DHPP telah dipersetujui di dalam Konvensyen DHPP Pusat pada tahun lalu iaitu tarikh penubuhan DHPP adalah bermula pada 11 Mac 2004 kerana mengambil semangat penubuhan Kelab Penyokong PAS pada ketika itu. DHPP telah pun merancang untuk mengadakan Sambutan DHPP Dua Dekad tidak lama lagi dan akan memaklumkan perkembangan program tersebut dalam masa terdekat ini.

Sekian. Terima kasih.

ENCIK BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat
23 Mei 2024

#dhpppusat

#PasForAll

#PASUntukSemua

Ulasan