Gangguan bekalan elektrik DUN Johor memalukan – Speaker



Gangguan bekalan elektrik DUN Johor memalukan – Speaker
SIDANG DUN Johor di Kota Iskandar di sini terhenti seketika ekoran gangguan bekalan elektrik dan sistem audio.
Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
13 Mei 2024, 12:44 pm

ISKANDAR PUTERI: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini terhenti seketika ekoran berlaku gangguan elektrik dan sistem audio di dewan utama persidangan.

Insiden berkenaan berlaku pada pukul 9.45 pagi ketika Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sedang menjawab soalan-soalan berkaitan isu kasino di Forest City.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi turut menegur insiden berkenaan sebaik sahaja masalah teknikal tersebut dapat diatasi kira-kira 20 minit kemudian.

“Kejadian ini memalukan hingga Sidang DUN Johor terpaksa ditangguhkan sementara. Saya berharap bahagian pengurusan dewan akan lebih peka tentang perkara ini.

“Penangguhan sementara akibat isu teknikal adalah memalukan. Saya tidak mahu dengar alasan sebab kita mesti tolak budaya alasan, kita mesti ada mentaliti kelas pertama. Jadi, saya tidak mahu ia berulang,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz yang menyambung semula sesinya sempat bergurau dengan berkata adakah gangguan berkenaan merupakan satu tindakan sabotaj kerana berlaku ketika beliau sedang menjawab soalan berkenaan Forest City. – UTUSAN

Ulasan