Gugur 6+1 wakil rakyat Bersatu dibuat serentak, Suhaili jadi pertama terima notis




Gugur 6+1 wakil rakyat Bersatu dibuat serentak, Suhaili jadi pertama terima notis
HAMZAH Zainudin bercakap kepada pemberita dalam Ceramah Umum PN sempena PRK Kuala Kubu Baharu dekat Bandar Utama Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI

Oleh MOHAMAD ATHIR BIN ISMAIL
9 Mei 2024, 7:05 am

HULU SELANGOR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menjadi individu pertama diberikan notis gugur keahlian Parti Bersatu secara automatik apabila beliau bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain Suhaili, turut dikesan dua lagi wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Dzulkafperi Hanapi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Menurutnya, kedua-dua wakil rakyat dari Selangor itu didapati hadir berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao sedangkan Bersatu meletakkan calon Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“Memang keputusan kita yang hanya hendak menunggu mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT) untuk membuat pengesahan. Dua lagi, hari ini (malam tadi) yang bangkit dan bersuara di pentas calon PH kalau mengikutkan perlembagaan kita, secara automatik mereka terhenti jadi ahli Bersatu, maka kita akan bawa juga (ke dalam mesyuarat) untuk buat pengesahan.

“Yang Suhaili memang sudah ada keputusan asal, cuma kita hendak buat endorsement, yang dua lagi kita akan tengok, sebab kita terpaksa berlaku adil kepada semua, Insya-Allah kita akan lakukan seperti mana ada dalam perlembagaan parti.

“Sebaik sahaja habis PRK Kuala Kubu Baharu, ya minggu depan, insya-Allah,” katanya kepada pemberita, malam tadi.


Tambah Hamzah, tindakan tersebut bukan pemecatan daripada parti sebaliknya pengguguran keahlian secara automatik selepas mereka menyatakan sokongan kepada pemimpin Kerajaan Perpaduan.

“Cease to be a member, maknanya terhenti, maknanya bukan ahli parti. (Dipecat?) tidak. Bila ia terhenti, maka secara automatik dia gugur, kalau terhenti, begitulah.

“Dia terhenti menjadi ahli bermakna, jawatannya terus (hilang) dalam akta (Akta Anti Lompat Parti 2022) yang diluluskan, maknanya kawasan dia itu juga terpaksa dia lepaskan. Ayat kena betul, sebab itu yang saya kena (cakap) berhati-hati,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan susulan pengguguran keahlian sedemikian tidak dinafikan akan wujud pertikaian termasuklah ke tahap permohonan pemfailan di mahkamah.

“Biasalah itu (bawa ke mahkamah), bila dia sudah terhenti, dia akan cuba lawan dan bawa (ke mahkamah). Kita tunggu PRK kita lawan dia, baru dia tahu,” ujarnya.

Dalam ceramah kempen PRK Kuala Kubu Baharu malam tadi, Dzulkafperi dan Abdul Rashid berada di Kuala Kubu Baharu di sini bag memberikan sokongan kepada Sock Tao.

Terdahulu seramai enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN dilapor berpaling tadah apabila bertindak menyokong Anwar.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menjadi yang pertama isytihar sokongan diikuti Suhaili (Labuan). Kemudian ia diikuti Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Dzulkafperi (Tanjong Karang) dan Abdul Rashid (ADUN Selat Klang). – UTUSAN

Ulasan