Hukum mengerjakan haji dan umrah
May 12, 2024
Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato' Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketika menyampaikan taklimat kepada 160 orang petugas haji yang berlepas ke bumi Madinah untuk melakukan persiapan awal menyambut ketibaan penerbangan pertama jemaah haji yang dijadualkan pada 9 Mei 2024. - Facebook Tabung Haji
ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran seperti berikut:
وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)
Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS sehingga ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)
Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut di dalam sabdanya yang berikut:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hambaNya dan pesuruhNya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” (Riwayat Muslim no. 16)
Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).” (Riwayat Al-Bukhari no. 1773 dan Muslim no. 1449)
Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.
Kesimpulan
Dalam isu ini kami berpandangan bahawa wajib ke atas setiap Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup mereka. Namun, bagi mereka yang mempunyai kecukupan dan kemampuan yang lebih, disunatkan bagi mereka untuk mengulangi ibadah haji dan umrah pada tahun-tahun yang berikutnya.
Di sini, kami mengambil peluang untuk saling menasihati kepada semua jemaah haji dan umrah agar menanam di dalam jiwa masing-masing niat dan tekad untuk menjadi dhuyuf al-Rahman walaupun sekali seumur hidup mereka. Justeru, berusahalah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sebaik mungkin, persiapkanlah bekalan dari segi mental dan fizikal agar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelaksanaan ibadah yang kita kerjakan.
Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin. (BAYAN LIL AL-HAJ) – HARAKAHDAILY 12/5/2024
Ulasan
Catat Ulasan