Indeks Kebebasan Media Dunia 2024: Malaysia dimalukan lagi





Indeks Kebebasan Media Dunia 2024: Malaysia dimalukan lagi
May 3, 2024

KUALA LUMPUR: Hari Kebebasan Media Sedunia 2024 yang disambut hari ini sudah tentu tidak memberikan kegembiraan kepada golongan pengamal media di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sambutannya ‘sunyi’ kerana pemimpin-pemimpin tertinggi negara kini sedang sibuk berpolitik.

“Namun, paling menyedihkan bagi pengamal media negara ini tentulah laporan Indeks Kebebasan Media Dunia (WFPI) 2024 yang disiarkan Reporters Without Borders (RSF), yang menunjukkan Malaysia memperoleh skor 52.07 mata menjadikan kedudukannya jatuh 34 anak tangga berada ke-107 berbanding 73 pada tahun lalu.

“Bahkan jika dibanding dengan Israel di tangga 101, Malaysia lebih teruk! Apakah Malaysia sedang menuju pentadbiran kuku besi?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Berada sudah di kedudukan itu jangan dituding jari menyalahkan pihak lain. Ingat semula janji sendiri untuk memberi kebebasan media, namun ia dimungkiri sepanjang tidak sampai dua tahun pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Ghairah mencari-cari salah lawan mahupun pihak yang enggan seia-sekata dengan mereka, termasuk media-media berdaftar.

“Sudah berapa kali media ditegur dan dipanggil kononnya salah lapor, kemudiannya terbukti kebenaran itu. Ada media yang ditarik kebenaran operasi dan kad medianya, serta ‘ugutan’ kereta polis tiba di depan rumah,” tambah beliau.

Menurutnya, dalam realiti keterbukaan kepada akses media boleh dikatakan dimiliki setiap individu hari ini, kerajaan yang berkuasa pula bersikap paranoid.

“Takut dengan segala kritikan, sedangkan itulah senjata mereka dahulu untuk menjatuhkan kerajaan.

“Bahkan dahulu, mereka bukan setakat lantang mengkritik, malah tanpa segan silu memfitnah yang hingga hari ini tidak terbukti pun.

“Ketika dalam jawatan kerajaan pun masih tetap mengungkap fitnah dan mempertahankan fitnah-fitnah serta membohongi janji masa lalu,” jelasnya.

Beliau menyatakan, pada hari ini, rakyat masih ada medan untuk tetap mengajar politikus kerajaan hari secara berhemah di medan demokrasi.

“Khususnya penduduk yang bakal menjadi pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

“Pastikan undi anda menjadi isyarat tegas penolakan kepada kerajaan paranoid ini. Buat pengamal media, anda adalah sebahagian daripada pembawa perubahan dunia…nasihat saya, jangan berhenti berjuang!,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2024

Ulasan