POTRET Allahyarhamah Maizatul Nadiah Md. Yusof bersama ibunya semasa Majlis Konvokesyen Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.
Jadi guru duka lara sampai hujung nyawa
Oleh FARAHWAHIDA AHMAD
17 Mei 2024, 7:00 am
SEGAMAT: Di sebalik kegembiraan meraikan guru dan pendidik sempena Hari Guru, tersimpan pelbagai cerita pahit manis termasuk cabaran guru duka lara yang saban tahun memohon pertukaran tempat mengajar.
Menurut Siti Norfazilah Md. Nor, 37, masih segar dalam ingatan kisah rakan baiknya, Allahyarhamah Maizatul Nadiah Mohd. Yusof yang merupakan seorang guru di Mukah, Sarawak.
“Maizatul telah berkhidmat lebih empat tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Nangka Sikat, Mukah sejak 2014. Dia telah memohon pertukaran tempat mengajar ke Semenanjung lebih lima kali, tetapi ditolak.
“Setiap kali balik Segamat sewaktu cuti sekolah, dia mengadu kepada saya dan rakan baik kami, dia berasa sedih dan penat berjauhan dengan ibunya dan keluarga di Segamat. Keadaan lebih menyedihkan apabila dia berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia satu tahun waktu itu.
“Dia ada berkongsi cerita yang amat rindukan anaknya apabila berjauhan dan terpaksa pulang ke Mukah berseorangan. Ibu mana sanggup berjauhan dengan anaknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Sulir dekat sini.
Siti Norfazilah memberitahu, Maizatul Nadiah menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 29 tahun pada pukul 4 pagi di kediamannya di Mukah.
Sementara itu, seorang lagi rakan Allahyarhamah, Farhanis Ahmad mengakui pemergian Maizatul Nadiah pada 24 Julai 2017 itu amat mengejutkan keluarga dan pihak sekolah kerana sebelum ini dia tidak mengalami apa-apa penyakit atau menunjukkan sebarang perubahan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan