‘Jangan marah agenda DAP, memang itulah dia’



‘Jangan marah agenda DAP, memang itulah dia’
IDRIS AHMAD
Oleh Zulkifli Jalil dan Omar Zin

9 Mei 2024, 8:00 am

MUKADIMAH

ADA mengatakan Pas tidak pandai berpolitik. Hari ini Pas mempunyai 43 kerusi Parlimen. Bukan sahaja paling banyak dalam sejarah parti itu, bahkan tertinggi berbanding mana-mana parti politik. Malah jauh meninggalkan parti-parti majoriti Melayu lainnya.

Pas juga memiliki 148 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di 11 buah negeri melainkan Melaka dan Sarawak. Jumlah yang terbanyak juga daripada parti-parti sedia ada ada.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, OMAR ZIN dan jurufoto, SYAKIR RADIN, Naib Presiden Pas, DATUK IDRIS AHMAD mengulas survival Pas hari ini dalam mendepani cabaran politik semasa.

Dalam pertemuan sejam di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu, Idris, 60, turut mengulas mengenai sentimen Melayu Islam menjelang 48 jam lagi pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Selangor.

MAIN PADANG YANG SAMA

UTUSAN: Pas dikatakan asyik pasal agama, tetapi tak pandai mentadbir?
IDRIS: Apabila Pas dapat jadi kerajaan di Kelantan sejak 1990, kita nak tunjukkan satu model pembangunan Islam. Walaupun tidak sempurna, tapi kita dah tunjukkan bagaimana keharmonian orang bukan Islam, yang minoriti duduk dalam sebuah negeri majoriti dalam masyarakat Islam. Orang kata Pas memerintah nanti awak semua ‘kena itu, kena ini’, tapi tidak berlaku macam itu pun.

Sama juga dalam konteks ekonomi. Tuan Ibrahim Tuan Man pernah jadi menteri alam sekitar. Takiyuddin Hassan jadi menteri undang-undang dan kemudian menteri sumber asli. Mereka mampu buat dan ini memang diakui sendiri oleh kawan-kawan dalam Kabinet.

Kadang-kadang ada orang kata trauma dengan Pas asyik bicara agama. Dia tak faham, Pas ini ramai dalam golongan bijak pandai seperti doktor pakar dan pakar IT (teknologi maklumat). Macam Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selaku bekas pensyarah aeroangkasa mampu buat Terengganu jana pendapatan dan baru-baru ini mencatatkan nilai eksport paling tinggi. Itu yang ramai tak tahu.

Ada orang kata sikap Pas bincang bab sembahyang, azan, lain-lain, itu sahaja. Bab-bab dunia tak fikir. Itu hanya tanggapan. Macam Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Kita tengok dalam keadaan kelakar-kelakar pun, banyak pelabur datang ke negerinya.
Kalau kita main atas padang yang sama, saya yakin boleh pergi jauh. Kenapa pula yang Kulim nak buat lapangan terbang itu jadi masalah. Sepatutnya bagilah, masalah apa? Bagi dia buat. Bukan nak bergantung duit kerajaan kerana ini pelaburan swasta.

Ada yang kata Pas mengancam kestabilan politik?
Kestabilan politik wujud apabila golongan majoriti menguasai politik. Kita dah jumpa orang ramai, mereka rasa tak senang dengan apa yang berlaku.

Ia bukan soal dia itu Cina, India atau sebagainya. Kalau dia faham tentang hak orang Islam, macam golongan-golongan awal dulu seperti Tun V.T. Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock. Mereka ini faham, mereka tahu siapa mereka, mereka datang daripada mana, ini bumi ini tanah siapa, sebab itu tidak berlaku apa-apa.

Ini akhir-akhir ini mengaji sejarah kita pun tidak. Dia mengaji sejarah lepas merdeka. Sebelum merdeka dia tak mengaji. Sepatutnya mereka yang terdahulu patut dicontohi.

Tapi, bila kita cakap macam ini, dia kata kita cauvinis. Bila kita cakap macam ini, kita teroris. Bila cakap ini, 3R (agama, raja, kaum). Macam-macam lagi. Jadi dekat mana kita ini?

Hubungan Pas dan UMNO?
Setakat hari ini, akar umbi UMNO dengan kita baik. Kita tak ada masalah nak jumpa mereka. Malahan di Kuala Kubu Baharu, kita jumpa kawan-kawan UMNO. Ada yang kata, (sokongan) UMNO habis, bungkus di sana. Ada juga jumpa ahli jawatankuasa akar umbi yang dah letak jawatan di Taiping. Dia kata dia tak boleh terima apa yang berlaku. Dia kata kena fikirlah jalan nak bagi baik. Yang masalah, seorang dua sahaja. Cukup cukuplah. Pas dengan UMNO ini memang on, kita tahu. Kita tahu semua ini berlaku.

Dulu apabila Pas menang, UMNO kalah. Bila UMNO menang, Pas kalah tapi hari Jumaat bertemu di masjid. Sekarang ini, dua-dua hancur. Nak bergaduh apa lagi. Jangan fikir politik untuk kita, kita ini tunggu nak mati dah, umur 60 ke atas, nak fikir apa lagi dah. Kita bukan nak fikir untuk kita, fikir untuk anak cucu kita. Kita ini setakat ada kuasa politik sahaja, ekonomi habis.

Dalam politik ada sikit kuasa yang dipegang. Kalau yang ini pun hancur, hancurlah semua.

Sedar ada yang selalu marah dengan Pas cuba tarik sokongan UMNO?
Memanglah orang marah kat kami. Marah kat Pas, kenapa Pas adakan protes. Tapi bukan senang nak tarik orang di bawah. Apabila kita nak ajak berdamai dengan UMNO, ada puak-puak tertentu marah. Tapi ini realiti mereka di bawah. Kita beritahu, kami ini pemimpin, awak tengok kampung awak sahaja? Kami duduk dalam bangunan atas tengok tiga empat kampung. Kalau fikir nak jijak, kita dah jijak awal dah UMNO. Biar dia.



Dah lah tuan-tuan. Kalau nak fikir dulu-dulu, bukan senang nak fikir apa dia (UMNO) buat kat kita. Tapi kita kata cukup, tutup buku. kita nak tengok ke depan. Perjuangan kita memastikan tanah air ini, anak cucu kita ini pegang lagi.

Ada usaha terbaharu jernihkan hubungan Pas dengan UMNO?
Dengan presiden, ada lah kita minta jumpa dalam tiga bulan lepas, ada jumpa…sembang, tapi dia tak respon. Dia pun beritahu, geng-geng UMNO ini dah tak mahu dah dengan kita. Takkan politik kita ini untuk kepentingan peribadi kita. Politik ini biarlah menguntungkan negara, agama dan rakyat.

Orang lain ada agenda dia. Jadi, jangan marah DAP agenda dia, memang itulah dia untuk dia, jangan marah dia. Betullah itu apa yang dia buat itu, apa yang dia buat itu betul.

DAP BERUBAHKAH?

UMNO kata DAP dah berubah?
Yang UMNO kata DAP dah berubah, berubah kat mana? Adakah Deklarasi Setapak 1967 dia buang? Perjuangan itu dia pegang sampai hari ini. Kat mana yang DAP berubah? Berubah kat mana yang awak sanggup tinggal kami. Kami tak rugi apa.

Masa depan UMNO jika tak bersama Pas?
Wallahualam, kalau ikut percaturan, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) lagi teruklah UMNO. Dia dapat 26 kerusi, itu pun kerana No Anwar no DAP.

Tengok keputusan Kuala Kubu Baharu nanti, kalau PN tak menang pun, tough fight lah. Tengok pengundi Melayu macam mana sebab Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, dalam 74 peratus pengundi Melayu bagi kat kita.

Lepas ini tak ada No Anwar no DAP, dah tak ada apa, nak kata apa lagi? Bab lawan DAP ini, UMNO lebih kuat dari Pas.

Tapi Pas pun pernah berkawan dengan DAP?
Kita berkawan dengan DAP sebab kita ada isu yang sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), soal ketelusan, tapi setakat itu sahaja. Kita kata, agree dan disagree. Bab perjuangan kami, jangan campur, kita lawan dari segi isu sahaja.
Tapi apabila soal prinsip, dah sampai isu berkenaan dengan hal-hal hak kita, kita pun tak boleh nak buat apa. Nak berkawan pun no point juga.

Di mana Amanah dalam Pakatan Harapan (PH)?
Tengok Amanah (Parti Amanah Negara) dalam PH, ke arah mana dia pergi? Dia menang itu betul-betul ke. Hari ini kalau calon pilihan raya itu Melayu, DAP akan sokong calon Kuala Kubu Baharu, walaupun letak calon Melayu, asalkan dia dengan DAP, DAP sokong.

Kalau dia letak calon Amanah iaitu Melayu, asalkan jadi pak angguk kepada DAP, DAP akan sokong, yang Cina pun sokong. Bukan soal prinsip sangat. Selagi dia boleh guna awak, dia akan guna. Tapi yang bagusnya dia ada prinsip. Dia tak pernah goyang.

Kenapa UMNO marah sangat pada Bersatu sampaikan beri kata dua kepada Pas pilih UMNO atau Bersatu?
Awak kena ingat Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ini walaupun orang (UMNO) marah kat Bersatu, kot mana pun Bersatu, dia boleh jadikan UMNO dalam kerajaan. Kami Pas tak apa, kami boleh duduk pembangkang, kita biasa jadi pembangkang. Tak dapat peruntukan, kita bagilah rakyat dengan cara kita. Kurang-kurangnya Bersatu ini jemput jadi kerajaan, duduk dalam kabinet dan sebagainya. Sekurang-kurangnya.

Kena ingatlah jasa Bersatu, janganlah fikir nak marah. Kalau nak fikir marah Tan Sri Muhyiddin Yassin, takkan yang lama kita nak ungkit balik, sudah-sudah lah. Macam budak-budak macam ini. Gaduh budak-budak. Kita orang politik ini kena matang. Biasalah, politik kata-mengata itu biasalah. Engkau kalau tak mahu kata-mengata, jadi parti politik tupperware lah. Jangan fitnah dahlah.

Buat apa marah pada cerita lama. Kamu kembali kepada kebenaran. Lebih baik kita kekal dengan kebatilan. Takkan benda lama-lama itu, nak ungkit cerita lama.

Di satu peringkat, UMNO guling Muhyiddin, Muhyiddin boleh pula bagi jawatan Perdana Menteri dekat UMNO, mereka dah tak ada apa-apa, kurang-kurang dia bagi. Ini datang daripada Bersatu. Kalau Bersatu tak tolong, tak naik juga jadi Perdana Menteri. Kena fikirlah.

Pas awal-awal tak nak jawatan Perdana Menteri, kita pesan jangan terima jawatan dan sebagainya. Kita kukuhkan parti dan negeri-negeri kita, biarlah orang lain duduk di depan.

Kalau negeri-negeri kita memerintah, kita juga berkuasa dekat pusat. Banyaklah benda kita dapat dari ekonomi untuk jana pendapatan, bantuan-bantuan boleh diberikan.

Kita kukuhkan negeri kita dulu, tak perlu gopoh. Ada orang kata, Pas dah banyak kerusi, patut dapat lebih. Tidak, tak perlu gopoh, tapi rakyat akan menilainya.-UTUSAN

Ulasan