Jenayah seks seawal kanak-kanak usia 5 tahun





Jenayah seks seawal kanak-kanak usia 5 tahun
Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (tengah) melawat pesakit kanak-kanak selepas Program Lawatan Hospital sempena Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/FARIZ RUSADIO
Oleh MASZUREEN HADZMAN
22 Mei 2024, 7:00 am

KUALA LUMPUR: Isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin membimbangkan susulan banyak kes jenayah seks membabitkan golongan bawah umur dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terbaharu, satu kes yang merunsingkan kita adalah kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak seawal usia lima tahun. Dia bukan didera, bukan dipaksa untuk melakukannya. Ini bukan sakit fizikal, tetapi sakit mental.

“Saya lihat hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama oleh masyarakat. Ini kerana kita tiada tempat khas untuk rawat, pulihkan mereka,” katanya dalam program Lawatan Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

Kata Mohd. Shuhaily, kanak-kanak terus membesar dan akan berada dalam masyarakat.
Ini dikhuatiri akan menimbulkan masalah lebih serius jika isu itu tidak ditangani lebih awal kerana langkah pemulihan pada masa ini amat kurang.

“Sebagai contoh, kes seksual rambang oleh seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun baru-baru ini kerana ingin membayar hutang, kami ingat itu kes yang paling muda, tetapi baru-baru ini ada kes membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun.


“Disebabkan inilah PDRM memerlukan kepakaran dalam konteks kesihatan mental bagi membantu kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. Ini kerana generasi muda adalah masa depan kita,” jelasnya.

Beliau berkata, punca kepada jenayah seks membabitkan kanak-kanak adalah kerana akses kepada bahan pornografi secara dalam talian yang terlalu mudah berbanding dahulu.

“Kita rasa perkara ini mungkin perlu dilihat lebih mendalam dalam konteks penggubalan undang-undang jenayah siber itu sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berpendapat, ruang siber masa kini yang membawa naratif Barat dilihat mencabar penguatkuasaan undang-undang sedia ada berlandaskan nilai-nilai setempat.

“Bagaimana kita hendak kuatkuasakan (undang-undang) jika undang-undang dan prosedur antarabangsa bercanggah dengan nilai setempat,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan