Kabinet lulus landasan LTSIP dipanjang kepada 2,800 meter





Kabinet lulus landasan LTSIP dipanjang kepada 2,800 meter
May 13, 2024

Share

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas persetujuan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) daripada 2,400 kepada 2,800 meter.


Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasuruddin Daud berkata, pihaknya berbesar hati menerima perkembangan positif mengenai kelulusan permohonan tersebut.

“Semasa lawatan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kelantan baru-baru ini pada taklimat pembangunan saya ada menyebut beberapa perkara dan Alhamdulillah mendapat maklum balas positif.

“Terima kasih kepada Menteri Pengangkutan kerana sudi berkunjung ke Kelantan untuk melihat perkembangan airport baru dan berkunjung ke Pasir Mas dan Rantau Panjang,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Kota Darulnaim, hari ini.

Pagi tadi, ketika memberitahu media Anthony Loke berkata, kabinet bersetuju untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kepada 2,800 meter.

Menurutnya persetujuan kabinet dibuat selepas Perdana Menteri memaklumkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas.

“Alhamdulillah hari ini menteri menjelaskan bahawa pihaknya bersetuju supaya landasan airport dipanjangkan lagi sebanyak 400 meter sebagai usaha menaik taraf kepada airport international,” ujar Menteri Besar. – HARAKAHDAILY 13/5/2024

Ulasan