‘Kamu tak suka dengar, tapi saya terpaksa’ - Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong



‘Kamu tak suka dengar, tapi saya terpaksa’
DATUK Seri Dr. Wee Ka Siong. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Oleh ZULKIFLI JALIL dan AQILAH MIOR KAMARULBAID
6 Mei 2024, 8:00 am

MUKADIMAH

MERAIH jumlah tontonan TikTok sekitar 2.7 juta isu PADU dan 1.2 juta berkaitan perbalahan MCA-DAP membuatkan nama Presiden MCA, DATUK SERI DR. WEE KA SIONG menjadi sebutan kebelakangan ini.

Meskipun berada di blok Kerajaan Perpaduan tetapi Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Ayer Hitam, Johor itu tetap mahu kekal lantang bersuara memperjuangkan hak rakyat. Tak mahu sorok-sorok walaupun ada rakan-rakannya dalam kerajaan kecil hati, panas punggung.

Kepada wartawan Utusan Malaysia ZULKIFLI JALIL dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto SYAKIR RADIN, Ka Siong berterus terang dalam banyak perkara. Berikut antara diluahkan beliau dalam pertemuan sejam di Wisma MCA, Kuala Lumpur pagi Jumaat lalu.

TAK MASUK AKAL

Secara logiknya, sekalipun diberi peluang untuk beri pandangan, namun jangan sampai buat ungkapan mencaci, pandang remeh orang lain. Tuduhan yang dibuat memang berat. Macamlah MCA tak pernah buat apa-apa untuk rakyat khususnya masyarakat Cina.

Dalam konteks ini, kita dikatakan gagal kerana tidak mengikut kayu ukur mereka (DAP) ekoran tidak bersetuju dengan Malaysian Malaysia. Juga berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Dalam Deklarasi Setapak, mereka nak mansuhkan kuota bumiputera dan bukan bumiputera. Kita MCA (dikatakan) gagal sebab tidak mengikut piawaian mereka.

Disebabkan isu sistem kuota, kita dicaci macam-macam. Takkan kamu sebut berpuluh tahun MCA tak pernah bantu khususnya masyarakat Cina. Apa maksudnya?

Mendiang Lee Kee Hiong baru sahaja meninggal dan Kuala Kubu Baharu bakal berdepan PRK, ungkapan “Saya bukan tak suka BN (Barisan Nasional), saya tak suka MCA” pula dikeluarkan dalam satu podcast. Apa punya logik? MCA masih dalam BN. Ya lah you mana boleh pilih-pilih, BN ini tetap gabungan tiga parti di Semenanjung dan kemudian ada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Janganlah cakap benda tak masuk akal.

Ramai anggap kami (keluarkan kenyataan dan tidak berkempen) lepas geram. Dalam kes ini perlu lihat, bila dicaci, dipandang remeh, takkan saya selaku presiden parti tak bercakap apa-apa. Berdiam diri ataupun diam-diam ubi, semakin diam semakin berisi. Tak boleh, ini soal maruah parti, saya terpaksalah cakap. Kita bukan cari hal, tetapi kerana pemimpin tertinggi parti itu yang berucap sebegitu. Ini bukan sesuat-u yang direka bentuk oleh saya.

DAP PANDANG RENDAH MCA

Dia kata nak balas jasa, jasa apa? Jasa dia mencaci maki parti saya. Ini bukan soal menang kalah, tapi ia tidak adil kepada MCA. Saya tak cakap belakang-belakang. Saya berterus terang. MCA bukan parti bermuka-muka. Kita dalam kerajaan BN selama ini secara dalaman berunding dan berbincang dengan cara baik. Kita sebagai ejen muhibah nak pastikan keharmonian. Kita tak boleh menang sorak kampung tergadai. Itu falsafah MCA. Macam mana Melayu terima MCA disebabkan kita berbincang, bermusyawarah dalam apa jua isu, kita cari jalan penyelesaian. Bukan nak api-apikan sesuatu. Penyelesaian adalah satu perkara wajib untuk kita cari apa kedudukan terbaik, penyelesaian terbaik dan akhirnya mungkin bukan semua orang menang tetapi sekurang-kurangnya ada jalan di tengah atau penyelesaian.

Parti saya dihentam teruk, mustahil saya berdiam. Kalau kamu di tempat saya, adakah kamu akan berdiam? Tidak boleh. Banyak kali saya kata, saya manusia biasa, bukan malaikat, bukan hipokrit. Saya tidak akan berdiam jika parti dimaki.

MCA TAK DISUKAI KAUM CINA?

Sebab kita gagal tarik sokongan masyarakat Cina. Kita perlu faham BN tampilkan calon MCA di kawasan yang ditandingi DAP. DAP pula gunakan pelbagai sentimen dan isu seperti kerjasama dengan perasuah, penyangak. Mestilah orang pandang MCA tidak bermaya. Perkara yang kita tak buat, kita kena tetapi bila buat, you kata tak cukup.

Saya tak cemburu tapi bila ketika kamu ditanya kenapa tak pilih MCA tapi memilih parti lain, kalau jawapan kamu masa itu ialah saya sudah buat tinjauan falsafah dan didapati parti ini lebih dekat atau dari segi prestasi parti lain tidak sama dengan parti ini, saya boleh terima 100 peratus. Tapi kamu kata “Saya bukan tak suka BN, saya tak suka MCA”. Kita dan MIC bersama BN menuntut kemerdekaan bersama-sama dan akhirnya memperluaskan sayap ke Malaysia Timur di Sabah dan Sarawak. Kita adalah perintis dalam parti.

Saya masih ingat dalam satu keratan akhbar oleh ahli Parlimen Kulai pada 30 Januari 2018, dia kata tugas utama partinya adalah untuk menjahanamkan MCA. Kalau kamu dah cakap macam itu, dah macam talak tiga. Takkan saya nak berbaik dengan awak sebab nak menang.

Saya nak bagi tahu penubuhan Kerajaan Perpaduan disebabkan ketika itu tiada gabungan parti politik yang berjaya dapat 112 kerusi, terpaksa ada kerajaan campuran. Kita menjunjung perintah Yang di-Pertuan Agong (ketika itu). Kerana itu akhirnya kita keluarkan kenyataan menjunjung dan menghormati segala titah Tunku untuk stabilkan politik negara. Kita bagi sokongan tapi ini tidak maksud MCA bagi bola tanggung, free kick tanpa keeper. Kita ini macam bila diperlukan semut dipijak tak mati, bila tak diperlukan diludah dan dikahak sesuka hati.

’TUHAN’ ADALAH UMNO? PENDEKATAN MCA

Paling teruk mereka kata kita ini subservient (tunduk) kepada UMNO, kira macam ‘Tuhan’ adalah UMNO. Itu mesej yang dibawa sampai kata kita tak bermaya. Tidak adil kepada parti saya bila cakap yang bukan-bukan.

Bila tunjuk satu jari ke arah yang kamu tunjuk, maka ingatlah tiga jari lagi ditunjukkan pada diri sendiri. Sekarang tiba masanya kamu membuat justifikasi, apa yang kita gagal, sekarang kamu buatlah. Siapa boleh hentikan kamu untuk buat semua ini. Kalau tahu realiti tak boleh, apa dia?

Dengan parti lain, bolehlah nak bohong. Sekarang MCA tak berkempen (PRK Kuala Kubu Baharu) dianggap sebagai satu perkara besar. Pemimpin dia cakap tak kisahlah MCA datang ke tak, tak apa. Mereka boleh menang, tak apalah. Selamat bertanding, selamat maju jaya. Kenapa GPS (Gabungan Parti Sarawak) buat kenyataan sama macam MCA, mereka dilayan dengan cara yang lain. Kenapa? Kenapa sesama parti komponen kerajaan madani ada layanan berbeza?

MCA ADA UNIVERSITI

Selepas pelbagai hinaan, mana saya nak letak (sumbangan) veteran parti? Kamu kata parti ini tidak buat apa-apa, tapi mana datangnya dua buah universiti penubuhan MCA yang kini antara untiversiti ramai penuntut. Kita ada 53,000 pelajar UTAR (Universiti Tunku Abdul Rahman) dan TAR UMT (Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology).

Masa kita mula tubuhkan UTAR, macam-macam kena caci. Kalau tengok awal 1970an dia (DAP) punya kritikan seolah kita pengkhianat masyarakat Cina tapi hari ini terbukti dengan adanya graduan dari dua institusi ini bermaksud walaupun kedudukannya tak sama dengan UiTM (Universiti Teknologi Mara) tapi sekurang-kurangnya kita guna dana awam. Kita yang mengusahakan dan kemudian dapat bantuan kerajaan.

Kita juga ada sumbangan kepada rakyat Malaysia, kalau tidak pelajar ini terpaksa melanjutkan pelajaran di luar negara. Bukankah ini satu sumbangan?

Jangan lupa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow adalah graduan UTAR. Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Teresa Kok dan ramai lagi graduan sini. DAP ada dalam Kerajaan Perpaduan, mereka boleh buat ke? Dulu kamu kata kita ini macam-macam, sekarang biarlah rakyat melihat.

CAUVINIS, EKSTREM POPULARKAN PARTI?

Itu cara dulu dapatkan undi tapi sekarang ini kena laksanakan bukan sekadar cakap, kena buatlah. Sekarang ini menanggung segalanya. You cakap berlaku adil kepada semua pihak, buktikanlah.

BANGKIT

Bangkit atau tidak bagi saya sepanjang tempoh kepimpinan ini, saya akan cuba sedaya upaya. Saya masih cinta dan taat pada negara. Parti ini kesayangan saya kecuali ada pihak dalaman kata tidak lagi atau nak cari jalan lain tapi keutamaan dan maruah BN kita kena jaga. Perlu ada semangat tulen musyawarah sejak penubuhan awal, perbincangan, berunding.

Bila sentuh tentang parti, kita ada tanggungjawab kerana itu parti ini memerlukan orang yang berfikiran waras untuk menangkis kata-kata jahat.

PALING LANTANG

Saya pernah rasa sebagai ahli Parlimen biasa, jadi timbalan menteri untuk lima tahun, jadi menteri untuk tujuh ke lapan tahun, jadi pembangkang selama 22 bulan, sekarang pun tidak ke sana, tidak ke sini. Saya dan parti bukan pembangkang tetapi pendukung kerajaan yang tiada kuasa untuk menentukan sebarang dasar.
Cuma saya masih ada ruang sebagai wakil rakyat untuk memperjuangkan hak rakyat sebab itu saya lantang. Tapi orang kata kita duduk dalam kerajaan tak boleh beri kenyataan bertentangan dari kerajaan.

GST KALAHKAN SST?

Kalau saya ikut, pasti gagal, pasti ada masalah, takkan saya nak biarkan. Saya terus terang kata sistem percukaian kamu dalam buku tulis GST (cukai barang dan perkhidmatan) menang dalam segala aspek berbanding SST (cukai jualan dan perkhidmatan). Saya baca muka surat 16 dan 17, lepas itu kesimpulannya kerajaan tak ikut dan buat perkara sebaliknya. Sebab itu saya kata kenapa? Kalau tak buat, chapter itu buanglah. Buat apa you tulis benda-benda yang elok tapi akhirnya you tutup pula yang elok-elok itu.

PELEPASAN KOS

Isu ICPT (Pelepasan Kos Tidak Seimbang), saya orang pertama di Dewan Rakyat bersuara. Saya kata walaupun nampak dari luaran kamu tidak naikkan tarif elektrik tetapi kamu telah meningkatkan lima kali ganda kadar ICPT yang akhirnya akan diterjemahkan dalam kenaikan bil elektrik sehingga 45 peratus. Saya kata kenaikan ini secara mendadak. Satu kilang daripada RM500,000 naik kepada RM750,000. Ini akan meningkatkan kos dan sekarang apabila ada menteri kata kita ini pandai buat reformasi tetapi dalam masa dua bulan sahaja bil air, elektrik naik. Kamulah punca kenaikan ini.

Zaman kita (BN) tak berani buat macam ini sebab kita tahu akan beri kesan kepada rakyat. Kamu tak boleh cakap industri, peniaga tanggung sedangkan akhirnya kos akan diturunkan kepada pengguna. Sebab itu roti john dalam tempoh setahun ini dari RM7 naik ke RM10. Martabak pula dari RM6.50 naik ke RM9 hingga RM10. Kenapa naik mendadak, ICPT adalah penyebabnya. Ini adalah penghulu segala kenaikan. Saya sudah kata banyak kali dan hari ini terbukti.

LOGISTIK

Saya sebut. kalau sektor logistik you tambah enam peratus, akan buat parah. Dewan Rakyat sendiri merayu kepada Perdana Menteri, kalau boleh jangan teruskan. Saya sudah melaksanakan tugas.

TELUR

Bila saya bangkitkan telur daripada India dijual di sini, kecohlah. Malaysia ada penternak, selama 50 tahun tak pernah ada masalah, tidak pernah tidak cukup bekalan tapi kamu kawal harga. Kamu kata kos 45 sen kenapa kamu letak harga 41 sen. Orang tak nak bela punya. Saya kata untuk seekor ayam itu bertelur, ambil masa lima bulan. Bila ada shortage ini kamu kena import. Itulah isu telur besar dan kecil tetapi harga telur kecil 50 sen.

Orang miskin telur 41 sen tak dapat tapi bila kamu benarkan telur dari India dijual pada harga 50 sen, kenapa tak bagi pelarasan untuk telur tempatan? Kita boleh hidup sebab Malaysia antara lima negara utama pengeksport telur ayam di dunia.

E-INVOIS

Ramai penjaja hubungi saya kenapa pula kena e-invois. Penjaja mana faham, kalau kilang, mereka boleh buat.

Kalau buat GST, tak perlu e-invois sebab sudah datang dengan enam peratus. Saya nak mudahkan urusan. Saya cadangkan sistem percukaian terbaik, mesti ada kebaikannya. Yang jadi masalah ekonomi gelap yang menyebabkan kita kehilangan hasil. Dulu ada GST, mereka hancur kerana mereka dikesan.

Saya bagi lima cadangan, pertama kita akui mekanisme refund ada masalah. Dulu terlalu lama, tapi kerajaan ada hak lantik perunding bebas tapi kalau kamu lari, kamu kena teruk.

Kedua, kalau kamu rasa enam peratus tinggi, nak rendah skit, tak apalah, kita mula 4 atau 5 peratus, kemudian slowly naik.

PADU KAH?

Saya orang pertama sebut, kamu nak konsep net impose income, untuk apa? Contoh, seorang Melayu, seorang Cina
yang mempunyai kereta, tak kira kereta apa, tapi kalau dia mampu berjimat cermat, dia tak dapat apa. Takkan you nak buat macam tu?

Kedua, kalau nak ambil subsidi, akan menyebabkan kadar inflasi melonjak. Apa pasal? Contoh, tak nak bagi peniaga yang ada pikap minta subsidi, esok saya beli barang, hantar ke rumah kamu, kamu rasa peniaga itu akan tanggung ataupun pembeli?

Mesti pembeli yang tanggung. Jangan buat hujah macam orang bawah, B40 tak kena. Apa jua kesan rantaian, tetap
terkena rakyat.

Saya bukan pembangkang, kalau pembangkang, cara saya lain, terus kutuk tapi saya beri cadangan. Terpulanglah,
sekarang kerajaan macam menelanjangkan diri.

Saya tanya menteri, YB, siapa yang akan klasifikasikan tentang maklumat pinjaman rumah, kenderaan dan sebagainya? Jawapan mereka, sebenarnya kami sudah ada. Habis itu buat apa suruh rakyat isi maklumat?

Timbul pula isu scam. Sekuriti siber kita teruk. You ingat rakyat masih lagi mahu bagi semua akaun kepada pihak berkuasa.
Hasrat saya baik, jiwa saya suci. Kamu mungkin tak suka dengar tapi saya terpaksa demi rakyat. – UTUSAN

Ulasan