Kelantan mengorak langkah martabat perundangan Islam




Kelantan mengorak langkah martabat perundangan Islam
May 21, 2024
KOTA BHARU: Halangan dan cabaran memartabatkan perundangan Islam tidak pernah melemahkan semangat kerajaan Kelantan untuk terus mengorak langkah.

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri meletakkan Islam menjadi dasar pentadbiran kerajaan.


Katanya, kerajaan negeri tidak sekadar berdiam diri ekoran tindakan pihak-pihak tertentu yang mencari ruang mencabar berkaitan agenda meninggikan syiar Islam dalam aspek perundangan dan institusi syaria
“Segala perancangan jahat musuh-musuh Islam untuk melemahkan dan melenyapkan cahaya Islam akan menemui kegagalan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS) 2014 di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Kompleks Islam Darulnaim hari ini. (Foto atas)


Hadir sama mantan Duta Perdana Menteri ke Timur Tengah Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah dan anggota Exco serta wakil-wakil rakyat.


Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri komited untuk menggubal semula 16 seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan (EKJS) (1) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan, Februari lepas.


Kata beliau, agenda untuk memperkasakan semula perundangan Islam sebagaimana usul yang diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri Mac lalu.


“Kerajaan negeri akan berusaha melalui punca kuasa yang ada untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan terus diperkasakan,” katanya.


Beliau juga berharap agensi kerajaan Kelantan memainkan peranan memberi penerangan mengenai kepentingan perundangan Islam dan tanggungjawab selaku seorang Muslim. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

Ulasan