Kelantan rakam tahniah kepada pasukan takraw negara





Kelantan rakam tahniah kepada pasukan takraw negara
May 23, 2024

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakam ucapan tahniah kepada pasukan takraw negara di atas kejayaan merampas gelaran juara berganda Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, kemenangan itu mencipta sejarah selepas berjaya menumpas musuh tradisi, Thailand.

“Alhamdulillah, Malaysia kembali menakluki gelaran Raja Sepak Takraw Dunia khususnya sebagai juara kategori double dan juara kategori regu.

“Tahniah juga buat Aidil Aiman, atlet muda sepak takraw yang merupakan anak jati Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Pada perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa semalam trio negara yang ketuai Farhan Adam berjaya mempamerkan gaya luar biasa sehingga menang straight set 15-7, 15-12.

Beliau dibantu pemain lain negara iaitu Mohamad Azlan Alias dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi.

Terdahulu, pasangan Aidil Aiman Azwawi dan Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double dengan kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut.

Kemenangan itu menebus kekecewaan kali terakhir di edisi Piala Dunia Korea Selatan yang menyaksikan Malaysia tewas pada perlawanan akhir kepada Thailand.

Zamakhshari turut merakamkan tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan negara takraw negara. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

Ulasan