Kod Etika Kewartawanan sempitkan ruang kebebasan media



Kod Etika Kewartawanan sempitkan ruang kebebasan media
May 3, 2024

Malaysia jatuh ke kedudukan 107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia (WFPI) 2024 yang disiarkan Reporters Without Borders (RSF), berbanding pada kedudukan 73 pada tahun 2023.

KUALA LUMPUR: Perjuangan pengamal media di Malaysia untuk bersuara sekian lama seharusnya diberi ruang dan peluang seluas-luasnya, sejajar dengan kelantangan kerajaan sedia ada yang terlebih dahulu mengangkat kebebasan bersuara pada masa lalu.

Itu kenyataan Pemuda PAS Malaysia ketika mengulas tentang tarikh hari ini, 3 Mei 2024, yang mana menandakan genap 30 tahun Hari Kebebasan Media Sedunia.

“Ironinya apa yang berlaku di Malaysia dengan kewujudan Kod Etika Kewartawanan telah menghambat dan menyempitkan ruang kebebasan media ini,” tegas kenyataan itu, pada hari ini.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Malaysia tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Hari Kebebasan Media Sedunia 2024, khususnya buat pengamal media di Malaysia.

“Sedarkah anda bahawa, Hari Kebebasan Media Sedunia telah dilancarkan pada 3 Mei 1994. Ia sejurus selepas syor Persidangan Agung UNESCO pada tahun 1991, kemudian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah bersetuju bahawa tarikh 3 Mei setiap tahun dijadikan sebagai Hari Kebebasan Media Sedunia.

“Malaysia antara negara yang menyambutnya,” tambah kenyataan itu.

Indeks kebebasan media Malaysia merosot

Hari Kebebasan Media Sedunia atau ringkasnya, Hari Media Sedunia (World Press Freedom) bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebebasan media dan mengingatkan kerajaan sesebuah negara tentang kewajipan bagi menghormati dan menegakkan hak kepada kebebasan bersuara yang termaktub di bawah Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948; dan menandakan ulang tahun Deklarasi Windhoek, pernyataan prinsip media bebas yang disusun oleh wartawan akhbar Afrika di Windhoek pada tahun 1991.

Sementara itu, indeks kebebasan Malaysia yang merosot terserlah menerusi laporan Indeks Kebebasan Media Dunia (WFPI) 2024 yang disiarkan Reporters Without Borders (RSF) pada hari ini.

Ia menunjukkan Malaysia memperoleh skor 52.07 mata; menjadikan kedudukan negara ini dalam senarai WFPI jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 pada tahun lalu.

Sedangkan pada tahun lalu, Malaysia memperoleh skor 62.83 mata apabila melonjak 40 anak tangga ke kedudukan ke-73 berbanding pada 2022 di tangga ke-113 dengan 51.55 mata.

Dengan berada pada kedudukan ke-107 pada tahun ini, menjadikan Malaysia di bawah negara jiran Thailand (kedudukan ke-87); dan di kedudukan kedua dalam kalangan negara Asean berbanding Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174). – HARAKAHDAILY 3/5/2024

Ulasan