‘Mungkin kali terakhir kami bangkitkan soal peruntukan ADUN pembangkang’





‘Mungkin kali terakhir kami bangkitkan soal peruntukan ADUN pembangkang’
MOHAMAD Hanifah Abu Baker sewaktu sewaktu berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari kedua Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
7 Mei 2024, 4:27 pm

SEREMBAN: Permohonan supaya peruntukan diberikan kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sekali lagi dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Kali ini ia dibangkitkan oleh Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) yang menyifatkan permohonan kali ini yang terakhir akan dibawa oleh ADUN Perikatan Nasional (PN) di negeri ini selepas berulang kali permohonan dibuat sebelum ini.

“Saya memohon kepada Sikamat (Datuk Seri Aminuddin Harun) dapat mempertimbangkan untuk memberikan peruntukan kepada YB pembangkang, mungkin ini adalah permintaan kami yang terakhir, kami tidak akan bangkitkan pada sidang yang akan datang.

“Di Selangor ada Amirudin (Shari) di Negeri Sembilan ada Aminuddin, kedua-duanya Naib Presiden PKR, cuma Amirudin bertimbang rasa sedikit dengan memberikan peruntukan kepada pembangkang di Selangor,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan berkata demikian sewaktu berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari kedua Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Perkara sama juga dibangkitkan oleh Kamarol Ridzuan Mohd. Zain (PN-Paroi).


“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah memberikan pesan supaya mengenepikan agenda politik sempit sebaliknya bekerjasama atas agenda perpaduan dan kebajikan rakyat, inilah semangat dan kematangan yang saya dan rakan-rakan dari ADUN pembangkang ingin bawa.

“Meskipun dinafikan beberapa hak termasuk hak penglibatan dalam mesyuarat yang sepatutnya melibatkan ADUN setempat dan dinafikan hak peruntukan, surat sudah dihantar tetapi tiada respon, kami masih komited untuk meletakkan hati, fikiran, mata dan jiwa kami kepada rakyat demi kebaikan semua,” katanya.

Selepas pembentukan kerajaan Negeri Sembilan hasil gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Ogos tahun lalu, belum ada setakat ini mengenai peruntukan bagi ADUN pembangkang diumumkan oleh Aminuddin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika itu, PN menang di lima buah kerusi DUN iaitu Gemas, Labu, Serting, Bagan Pinang dan Paroi.-UTUSAN.

Ulasan