Muslimat PAS Masjid Tanah akan buka TASTI pertama



Muslimat PAS Masjid Tanah akan buka TASTI pertama
May 13, 2024

Share

MASJID TANAH: Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah bakal membuka Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) yang pertama di sini tidak lama lagi, demikian maklum Ketuanya, Aziah Mohd Saad.

Menurut beliau, taman asuhan tersebut yang merupakan produk kepada Dewan Muslimat PAS Malaysia memfokuskan kepada penjagaan kanak-kanak di bawah usia empat tahun.

“Kita ada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Tunas Islam (SMITI) yang di bawah naungan Dewan Pemuda PAS.

“Dewan Muslimat PAS pula ada TASTI. Ia berdaftar bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana ia perlu dapat kebenaran daripada JKM baru boleh buka TASTI ini. Perlu juga dapat kelulusan Bomba, Majlis Perbandaran dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan sewaktu majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah bagi tahun 2024 yang berlangsung di Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah, di sini semalam.

Menurut Aziah, tahap umur di bawah empat tahun merupakan umur keemasan di mana pada peringkat itu otak kanak-kanak berada pada tahap paling baik untuk menyerap segala ilmu yang diajarkan kepada mereka.

“Mereka pada tahap ini macam span, mereka boleh serap apa-apa ilmu yang kita ajar dia boleh serap masuk dan dia akan ingat benda tu. Dia akan keluarkan bila dia masuk umur empat tahun nanti, dia masuk sekolah empat tahun dia dah boleh bercakap dengan akidah yang teguh,” ujarnya.

Tambahnya, pembukaan cawangan pertama tersebut adalah sebagai menyahut cabaran Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang mahu ia dibuka pada tahun ini juga.

“Alhamdulillah kita sudah dapat surat kebenaran daripada JKM untuk membuka TASTI ini, insya-Allah kita akan membuka secepat mungkin,” katanya pada perasmian mesyuarat agung yang disempurnakan Ustaz Imran selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.

Program itu turut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Masjid Tanah, Abu Hashim Abd Samad dan Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Masjid Tanah, Maria Mohd Yusuf serta Penolong Setiausahanya, Norehan Bahari selain beberapa orang wakil NGO.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin turut menyampaikan ucapan dalam bentuk rakaman video awal kerana kini berada di luar negara. – HARAKAHDAILY 13/5/2024


Ulasan