Naik gaji, tekanan hutang dan bankrap
Oleh Mohd Shariza Abdullah
11 Mei 2024, 7:50 am
KAJI Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan (FCI) 2021 mendapati 30 peratus rakyat Malaysia berasa hutang mereka membebankan. Ia dilihat menjadi masalah jangka masa panjang dalam kalangan pekerja bergaji di Malaysia.
Hutang ini lazimnya diperoleh semasa awal bekerja, ketika usia muda mereka sama ada untuk memenuhi keperluan seperti membeli rumah atau kenderaan. Malah ada yang berhutang seawal di alam pengajian tinggi kerana mahu membayar yuran dan menampung kos pelajaran. Keluar institusi pengajian tinggi dan belum dapat kerja, sudah pun ada hutang.
Ada individu berhutang atas faktor yang tidak sepatutnya atau bagi tujuan tidak produktif. Umpamanya mahu memenuhi gaya mewah hidup mewah dengan memiliki telefon pintar berteknologi terkini walaupun bukan keperluan mendesak dan isi poket tidaklah setebal mana.
Ia menggambarkan sikap rakyat negara ini yang gemar ‘beli dahulu, bayar kemudian’. Namun, dalam sesetengah kes, ada individu terpaksa berhutang untuk perbelanjaan luar jangka. Ia antaranya kerana mereka kehilangan tulang belakang keluarga, hilang kerja, ditimpa musibah dan perniagaan yang gagal.
Tabiat dan faktor-faktor ini menyebabkan hidup dibelenggu hutang, lebih parah diisytiharkan bankrap oleh agensi kewangan kerana gagal membuat bayaran kepada penyedia pinjaman. Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia dalam tempoh empat tahun bermula 2020 menunjukkan lima faktor utama kebankrapan adalah pinjaman peribadi diikuti pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit.
Hidup pasti bertambah sukar apabila diisytihar bankrap. Mereka kehilangan banyak keistimewaan antaranya akaun bank dibekukan dan ditutup selain tidak boleh menjalankan sebarang perniagaan.
Apabila kerajaan melancarkan Dasar Peluang Kedua pada Mac 2023, ia memberi peluang kepada individu bankrap memulakan hidup baharu. Menerusi dasar itu, seramai 71,186 individu sudah mendapat peluang memulakan hidup baharu selepas dikeluarkan daripada status bankrap sehingga Februari lalu.
Persoalannya, sejauh mana golongan yang mendapat peluang kedua ini celik dan kekal disiplin menguruskan kewangan untuk kembali bangkit? Perkara ini perlu diberi penekanan bagi mengelakkan mereka kembali menjadi muflis disebabkan tabiat lama. Jika tidak, dasar yang diperkenal itu hanya sia-sia.
Tabiat berhutang seharusnya dikawal dan ditangani dengan baik. Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus mulai 1 Disember ini, mungkin sudah ada yang berkira-kira hendak ‘membuat hutang’ baharu bagi memenuhi keinginan.
Tidak salah mendapatkan sesuatu dengan berhutang jika mampu, tidak ‘makan diri’ dan pandai menguruskan kewangan. Apa dikhuatirkan adalah apabila ia di luar kemampuan sehingga menjadi jerat yang membawa ‘malapetaka’ di kemudian hari.
Dalam hal ini, ukurlah baju di badan sendiri agar dapat menjalani hidup dengan lebih tenang dan gembira tanpa tekanan hutang.
Mohd. Shariza Abdullah ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan