Pas ‘penunggang agama’ hanya mainan musuh politik – Azmin





Pas ‘penunggang agama’ hanya mainan musuh politik – Azmin
MOHAMED Azmin Ali ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia di Hulu Kelang, semalam. – UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Oleh ASLINDA NASIR dan MOHAMAD ATHIR ISMAIL
22 Mei 2024, 7:40 am

KUALA LUMPUR: Pas tidak dianggap sebagai liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menarik sokongan bukan Melayu meskipun dilabel sebagai parti ‘penunggang agama’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangannya, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali berkata, perkara tersebut adalah persepsi yang sengaja diwujudkan oleh musuh politik terhadap Pas.

“Pas bukan penghalang untuk kita dapatkan sokongan bukan Melayu, itu hanya persepsi. Pas membantu semua pihak dengan pendekatan sederhana,” katanya ketika ditemui, semalam.


Beliau berkata, sejak dahulu, Pas mengambil pelbagai pendekatan sederhana dalam dasar mereka seperti memperkenalkan negeri berkebajikan, Pas untuk semua dan sebagainya sehingga semakin diterima oleh generasi yang lebih muda.

Katanya, sejak itu Pas berjaya meluaskan sokongannya bukan sahaja di Kelantan, malah Terengganu, Kedah, Perlis dan sokongan itu semakin meluas.

Malah kata Mohamed Azmin, sokongan bukan Melayu dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu baru-baru ini apabila undi bukan Melayu kepada DAP mula merosot, sekali gus memberi isyarat positif kepada PN sendiri.


“Perlu diingat Kuala Kubu Baharu memang kawasan DAP dan kita letakkan calon Melayu, kita dapat dukungan yang baik termasuk daripada pengundi Cina. Walaupun sokongan itu agak kecil, tetapi sudah mula ada tanda-tanda peralihan sokongan orang bukan Melayu kepada PN.

“Penurunan sokongan kepada DAP dalam kalangan pengundi Cina sama ada faktor protes atau tidak keluar mengundi agak ke­tara dan penurunan itu agak besar kepada DAP,” katanya.
STRATEGI

Mohamed Azmin berkata, PN kini sedang mengkaji beberapa strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu termasuklah kemungkinan bekerjasama dengan MCA.

Katanya, perkara tidak mustahil memandangkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu seperti tersisih kerana fokus hanya diberi kepada DAP sahaja.

“PN sentiasa mengambil sikap yang terbuka terhadap pihak yang berpegang kepada prinsip. Kita terima Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Tidak mustahil dalam masa terdekat kita bincang dengan MCA,’’ katanya. – UTUSAN

Ulasan