Pastikan anak, cucu warisi perjuangan PAS




Pastikan anak, cucu warisi perjuangan PAS
May 12, 2024

MASJID TANAH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya memastikan perjuangan diwarisi oleh anak cucu.

Menurut beliau, amat malang jika seseorang amilin PAS yang telah meninggal dunia, anak-anak mereka hanya mahu mewarisi harta pusaka sahaja tetapi meninggalkan perjuangan ibu bapa.

“Saya teringat selalu disebut oleh Allahyarham Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, mantan Pesuruhjaya PAS Melaka. ‘Kau ni harta bapa kau ambil, perjuangan bapa tak ambil’. Jangan macam itu,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah (DMPKMT), hari ini.

Tambah beliau, lebih malang lagi jika anak-anak bukan sahaja tidak mewarisi perjuangan PAS yang didukung ibu bapa tetapi mereka akhirnya berada dalam kumpulan parti politik yang menentang perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Kerana itu menurut beliau, ahli-ahli PAS harus menghantar anak-anak ke aktiviti anjuran parti seperti Program Tarbiah Anak Ahli PAS (PROTAPAS) agar dibentuk untuk menyambung perjuangan apabila dewasa nanti.

“Jadi peranan macam mana kita nak lahirkan itu, kita ambil bila cuti sekolah jangan lepas peluang. Saya minta Dewan Pemuda boleh bincang dengan Ameerah ambil peranan.

“Modul dah siap. Tak boleh buat dua tiga hari, buat satu hari pun tak apa,” ujarnya.

Tambahnya, ahli-ahli PAS harus menghantar anak atau cucu yang berumur di bawah 18 tahun untuk menyertai program tersebut.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah turut mengucapkan penghargaan di atas jasa-jasa DMPKMT selama ini di dalam membantu pergerakan PAS kawasan.

“Banyak jasa anggota-anggota Dewan Muslimat di sini. Kalau kita tengok dari segi keselesaan kita dalam dewan ni, sebahagian besar penghawa dingin yang kita baru pasang ini adalah sumbangan Dewan Muslimat. Saya ucap terima kasih,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, ahli Dewan Muslimat sudah sedia dikenali sebagai jentera penting dalam program turun padang dan culaan apabila berlaku pilihan raya.

“Muslimat ini mereka orang yang sabar, tekun dan cermat dalam kerja-kerja macam ini. Sebab itu mereka boleh turun padang buat culaan.

“Kita Muslimin ni biasanya tak setekun mereka dalam kerja-kerja macam ni. Kita tak sabar,” ujarnya.

Program perasmian yang berlangsung di Dewan Haji Kassim, Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah, di Jalan Hujan Panas itu turut dihadiri oleh Ketua Srikandi Bersatu Masjid Tanah, Maria Mohd Yusuf, Penolong Setiausahanya, Norehan Bahari selain beberapa orang wakil NGO.

Turut berucap ialah Ketua DMPKMT, Aziah Mohd Saad sementara Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin turut menyampaikan ucapan dalam bentuk rakaman video awal kerana berada di luar negara. – HARAKAHDAILY 12/5/2024

Ulasan