PBB tuduh Israel sekat akses kemanusiaan di Gaza



PBB tuduh Israel sekat akses kemanusiaan di Gaza
PENDUDUK Palestin yang kehilangan tempat tinggal melarikan diri dari rumah mereka akibat serangan Israel dan berlindung di kem khemah di Rafah di selatan Gaza, semalam. -REUTERS
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
6 Mei 2024, 9:58 am

NEW YORK: Seorang pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel terus menafikan akses kemanusiaan PBB di Gaza.

Ketua Agensi Pelarian Palestin PBB (UNRWA), Philippe Lazzarini terus menuduh Israel kerana pihaknya hanya mahu mengelak kebuluran daripada berlaku.

“Hanya dalam tempoh dua minggu lalu, kami merekodkan 10 insiden melibatkan tembakan ke arah konvoi, penahanan kakitangan PBB termasuk buli, bogel, ugutan menggunakan senjata dan kelewatan yang lama di pusat pemeriksaan memaksa konvoi bergerak ketika waktu gelap,” tulis Lazzarini pada X.

Lazzarini juga menyeru Hamas dan kumpulan bersenjata lain untuk menghentikan sebarang serangan ke atas lintasan kemanusiaan, menahan diri daripada mengalihkan bantuan dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Kumpulan itu mengaku bertanggungjawab untuk serangan yang menutup bantuan kemanusiaan utama yang melintasi Gaza.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia (WFP), Cindy McCain memberi amaran bahawa kebuluran besar berlaku di utara negara itu dengan kawasan terkepung seramai 2.3 juta orang.


Walaupun bukan pengisytiharan kebuluran rasmi, beliau berkata dalam wawancara NBC News, terdapat kebuluran di utara Gaza dan ia kini bergerak ke selatan.

Bagaimanapun, dilaporkan, Israel terus meningkatkan usaha untuk meningkatkan bantuan ke Gaza, kata COGAT, sebuah agensi Kementerian Pertahanan Israel yang ditugaskan untuk menyelaras penghantaran bantuan ke wilayah Palestin.

“Dalam perbincangan antara wakil Israel dan PBB, termasuk WFP, tiada satu pun entiti menunjukkan risiko kebuluran di utara Gaza.

“Memperhatikan keadaan yang bertambah baik, (organisasi antarabangsa) menyatakan minggu lepas bahawa jumlah barang yang diangkut ke utara Gaza mesti dikurangkan kerana kuantitinya terlalu tinggi berbanding dengan populasi,” kata COGAT dalam catatan di aplikasi X.

Laporan yang disokong PBB pada Mac lalu mendedahkan kebuluran akan berlaku dan berkemungkinan menjelang Mei di utara Gaza dan boleh merebak ke seluruh kawasan itu menjelang Julai nanti.

Kebuluran dinilai sebagai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada penduduk mengalami kekurangan makanan yang melampau dengan satu daripada tiga kanak-kanak kekurangan zat makanan akut dan dua orang daripada setiap 10,000 mati setiap hari akibat kebuluran atau kekurangan zat makanan dan penyakit.

Pegawai PBB mengatakan bahawa secara amnya apabila kebuluran diisytiharkan secara rasmi di suatu tempat, sudah terlambat untuk menyelamatkan ramai orang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata,minggu lalu bahawa mereka yang paling terdedah di utara Gaza sudah mati kelaparan dan menghidap penyakit. -CNA

Ulasan