Pelakon Bridgerton 3 ajak derma untuk Rafah





Pelakon Bridgerton 3 ajak derma untuk Rafah
NICOLA Coughlan menyatakan sokongan terbuka kepada penduduk Rafah.
Oleh WAFA AULA
19 Mei 2024, 11:04 am


LOS ANGELES: Pelakon drama popular Bridgerton, Nicola Coughlan mengajak orang ramai menyalurkan sumbangan kepada penduduk di Rafah, Palestin.

Dalam sebuah hantaran yang dimuat naik menerusi Instagram Story, Coughlan bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk di wilayah itu di samping menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera.


“Saya sangat teruja hari ini kerana dapat berkongsi naskhah Bridgerton musim ketiga yang dinantikan anda semua.

“Namun pada masa yang sama, ingatan saya turut bersama mereka yang berada di Rafah.

“Jika anda ingin menderma kepada mereka, ia akan sangat bermakna. Gencatan senjata segera,” tulisnya yang turut berkongsi pautan saluran derma badan bukan kerajaan, Medical Aid for Palestina.

Bukan itu sahaja, Coughlan yang membawakan watak Penelope Featherington dalam drama terkenal itu juga turut memuat naik beberapa poster, menerangkan keganasan yang dilakukan Israel telah membahayakan lebih sejuta nyawa penduduk Rafah.


Ini bukan kali pertama pelakon asal republik Ireland itu menyuarakan sokongan terhadap Palestin. Sebelum ini, beliau juga dilihat kerap berkongsi informasi mengenai krisis kemanusiaan melibatkan Israel-Palestin di media sosial.

Coughlan enggan mengunci mulut walaupun beberapa rakan pelakon seperti Melissa Barrera dan Susan Sarandon hilang pekerjaan gara-gara kelantangan mereka menyatakan sokongan kepada Palestin.

Terdahulu, kira-kira 600,000 penduduk Palestin melarikan diri ke Rafah sejak pasukan tentera Israel (IDF) melancarkan serangan serentak iaitu udara, darat dan laut di bandar selatan Gaza. – UTUSAN

Ulasan