Pelukis termuda dunia berusia 152 hari


Pelukis termuda dunia berusia 152 hari
Oleh Wartawan Luar Negara
28 Mei 2024, 12:00 pm

ACCRA: Seorang kanak-kanak yang baru berusia setahun 152 hari di Ghana dinobatkan sebagai pelukis lelaki paling muda di dunia.

Ibunya, Chantelle yang juga seorang pelukis memberitahu minat anaknya, Ace Liam Nana Sam Ankrah mula terserlah sejak dia berusia enam bulan.

“Masa dia sedang belajar merangkak, saya hamparkan kanvas di lantai dan meletakkan beberapa alat lukisan supaya dia tak mengganggu saya menyiapkan kerja lukisan.

“Kemudian, saya dapati dia taburkan semua cat di atas kanvas itu dan saya gelarkan projek sulungnya sebagai The Crawl. Saya dapati dia berasa seronok dengan lukisan itu,” katanya.

Sejak itu, Ace Liam mendapat perhatian media tempatan dan antarabangsa, termasuk Wanita Pertama di Republik Ghana.

Dengan lebih 20 lukisan ciptaannya, Ace Liam menyertai pameran pertamanya di Muzium Sains dan Teknologi di Ghana.


Daripada 10 karya seni yang dipamerkan, sembilan daripadanya terjual semasa pameran itu.

“Anak saya sangat suka apabila warna lukisan di tangannya. Ini kerana, warna yang terang dengan kebolehan sendiri, mampu menterjemahkan dirinya ke dalam lukisan.

“Ia adalah projek kreatif dan menyeronokkkan. Dia sangat suka kebebasan untuk meneroka dan menghasilkan seni tanpa batasan,” jelasnya.

Selepas rekod dunia itu disahkan, ahli keluarganya mahu dia meneroka peluang untuk menempatkan dirinya dalam industri supaya bakat seninya dapat berkembang melalui pendidikan yang berkualiti.

“Kami juga berharap mendapat peluang tajaaan antarabangsa serta peluang untuk menjual karya seninya ke peringkat dunia,” katanya.

Ulasan