Pemuda PAS cadangkan kempen NO VIOLENCE IN SPORT





Pemuda PAS cadangkan kempen NO VIOLENCE IN SPORT
May 6, 2024


Akhyar Rashid dan Faisal Halim kini masih dalam rawatan selepas diserang individu yang tidak dikenali dalam dua kejadian yang berasingan.


KUALA LUMPUR: Menjelang pembukaan Liga Super Malaysia, Pemuda PAS bersolidariti dan mencadangkan untuk memperkenalkan kempen NO VIOLENCE IN SPORT bagi menunjukkan bahawa keganasan tidak mempunyai tempat dalam sukan dan masyarakat di negara ini.




“Sudah-sudahlah. Ini mungkin kebetulan namun amat tidak patut. Kami bersimpati kepada nasib dua pemain kebangsaan Harimau Malaya itu,” ulas status yang dikemas kini di laman Facebook rasmi oleh Pemuda PAS Malaysia, pada hari ini.


Dua insiden yang melibatkan pemain kebangsaan Akhyar Rasyid dan Faisal Salim dalam tempoh yang singkat antara satu sama lain adalah sangat tidak sihat untuk permulaan Liga Malaysia.


Pada Khamis (2 Me)i lalu, pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid kehilangan telefon bimbit dan dompet dalam kejadian samun, di sebuah kondominium di Kuala Terengganu ketika baru pulang dari makan malam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Akhyar, 25, yang baru saja turun dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di bahagian kepala dan badan oleh suspek yang tak dikenali.

Kecederaan yang dialaminya memerlukan enam jahitan dan rawatan intensif di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan semalam (5 Mei), Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor dalam sidang akhbar berkata, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian itu melibatkan lebih daripada dua suspek.

Dalam kejadian semalam (5 Mei), pemain Selangor FC, Faisal Halim pula telah disimbah asid yang menyebabkan kecederaan bakar tahap dua, dalam serangan di sebua pusat membeli-belah di Damansara.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keadaan Faisal, 26, agak menyedihkan dan di bahagian kaki tiada masalah. Cuma, bahagian tangan kiri, rusuk dan bahu tercedera kena simbahan asid.

Pihaknya juga berasa kesal dan sedih ke atas dua insiden berasingan yang membabitkan dua pemain skuad Harimau Malaya berkenaan.

“Sama-sama kita seluruh penyokong bola sepak tanah air dan rakyat Malaysia mendoakan semoga Akhyar dan Faisal cepat sembuh dan kembali dapat beraksi.

“FAM juga berharap supaya individu-individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2024

Ulasan