CHE Norasmariza Che Rezani mencuci beras di Sungai Kachong selepas air telaga kering akibat cuaca panas di rumahnya di Kampung Baru, Lata Tembakah, Besut. - UTUSAN/ WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Penduduk mandi, cuci pakaian di sungai
Oleh MEDIA MULIA
17 Mei 2024, 7:25 am
BESUT: Penduduk di Kampung Baru Lata Tembakah di sini terpaksa mandi dan mencuci pakaian di sungai ekoran air telaga kering susulan cuaca panas ketika ini.
Seorang penduduk Che Siti Noraisyah Che Rezani, 32, berkata, kira-kira 50 keluarga di kampung itu yang tidak mendapat bekalan air bersih daripada Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) selama ini hanya bergantung kepada air telaga untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila air perigi mulai kering sejak dua bulan lalu
“Boleh dikatakan setiap rumah di kawasan ini mempunyai telaga tetapi apabila mata air telaga kering, kami semua terpaksa berulang alik sejauh kira-kira tiga kilometer untuk ke Sungai Kachong.
“Sejak air telaga kering, setiap hari akan menjadi rutin saya dan ahli keluarga yang lain pergi ke sungai untuk mencuci, mandi dan mendapatkan bekalan air bersih,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baru Lata Tembakah, di Hulu Besut di sini, semalam.
Jelasnya lagi, keadaan agak sukar bagi mereka yang mempunyai anak kecil.
Katanya, dia kebiasaannya akan menunggu tiga anaknya yang bersekolah pulang sebelum membawa mereka ke sungai untuk mandi.
Sementara itu, Che Norasmariza Che Rezani, 20, berkata, selain sungai Kachong mereka juga akan menumpang mandi di kawasan Lata Tembakah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
“Lata Tembakah ini kami kurang ke sana kerana ia merupakan salah satu tempat perkelahan dan ramai orang luar yang berkunjung.
“Oleh itu kami akan ke sungai-sungai yang berdekatan untuk mendapatkan bekalan air agar kebersihannya terjamin bagi digunakan memasak,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan