Penerima vaksin Astrazeneca tidak perlu bimbang





Penerima vaksin Astrazeneca tidak perlu bimbang
INDIVIDU yang menerima vaksin Astrazeneca tidak perlu risau kerana tidak timbul kesan serius selepas dua tahun wabak berakhir.
Oleh Meja Rencana
15 Mei 2024, 9:00 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN menarik balik vaksin Astrazeneca lebih menjurus kepada keputusan dari sudut situasi semasa logistik perniagaan dan pasaran.

Terdapat lebihan baki stok vaksin Astrazeneca sedia ada. Perubahan mutasi strain virus Covid-19 yang berlaku terlalu cepat, penghasilan vaksin yang kontemporari yang sesuai dengan strain semasa agak sukar dilakukan.

Untuk itu, sebahagian vaksin-vaksin yang telah dihasilkan sudah tidak lagi relevan atau berkesan untuk mencegah jangkitan teruk disebabkan oleh strain virus Covid-19 selepas sesuatu jangka masa.

Ia juga sudah tidak berkesan untuk digunakan pada masa ini. Dengan kata lain, penarikan balik vaksin Astrazeneca adalah kerana pemberian vaksin tersebut tidak lagi bermanfaat untuk melindungi seseorang dari jangkitan Covid-19 yang serius pada masa ini.

Situasi ini tidak ada kena mengena dengan situasi ketika pandemik 2020 hingga 2022 lalu. Vaksin yang dihasilkan ketika itu relevan dengan strain virus ketika pandemik. Pihak Astrazeneca juga telah memaklumkan tentang kemungkinan berlakunya pendarahan otak luar biasa sebagai salah satu risiko pengambilan vaksin tersebut.


Sebarang komplikasi vaksin biasanya berlaku dalam tempoh 24 jam selepas pengambilan vaksin atau dalam tempoh beberapa hari. Tidak ada kesan sampingan yang serius seperti pendarahan otak atau inflamasi jantung akibat vaksin yang dilaporkan berlaku selepas enam bulan.

Oleh itu, penarikan balik vaksin Astrazeneca sebenarnya bukanlah isu kesihatan awam yang perlu dirisaukan. Persepsi negatif terhadap vaksin perlu dihentikan. Komen-komen tidak berasas yang meniup kebimbangan serta tidak munasabah juga perlu dielakkan.

Individu yang telah menerima dos Astrazeneca tidak perlu berasa bimbang kerana selepas lebih dua tahun wabak berakhir, tidak timbul sebarang kemungkinan seseorang mendapat kesan serius akibat vaksin tersebut.

Apa yang penting, kita terus menjaga kesihatan diri, menghormati individu lain untuk sentiasa menjaga etika batuk dan bersin serta sentiasa menjaga kebersihan tangan.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MALINA OSMAN
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Universiti Putra Malaysia

Ulasan