Pengasingan kuasa hanya mitos – Hamid Sultan Backer


Pengasingan kuasa hanya mitos – Hamid Sultan Backer
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI dan JUANI MUNIR ABU BAKAR
28 April 2024, 8:23 am

Mukadimah

INSTITUSI kehakiman di negara ini sering dikritik dan diserang bertubi-tubi sehingga ada yang dilihat melampaui batas.

Malah, apa yang mendukacitakan, ada tuduhan dilemparkan tidak berasas seolah-olah institusi yang mendukung undang-undang ini sudah terpalit dengan masalah integriti. Benarkah begitu? Mengapa tuduhan seberat ini sering timbul sejak kebelakangan ini?

Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan JUANI MUNIR ABU BAKAR menemuramah Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, DATUK DR. HAMID SULTAN ABU BACKER bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu SYAKIR RADIN.

MINGGUAN MALAYSIA: Adakah kes tertunggak mampu diselesaikan menerusi timbang tara?

HAMID SULTAN: Ini pandangan saya sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.


Saya mahu mengatakan bahawa jawatan penimbang tara atau majistret atau Hakim Sesyen atau mana-mana hakim adalah pekerjaan profesional yang paling mudah dengan syarat mereka mempunyai kepakaran dalam perkara yang menjadi pertikaian, apa yang mereka dengar dan mampu melakukannya dengan cara beretika.

Selain itu, untuk kepakaran am mahkamah pula, ia adalah dalam undang-undang dan tidak mempunyai kepakaran khusus dalam hal perkara pertikaian. Maka mahkamah pula mengambil masa lama untuk mendengar pertikaian dan menulis kertas penghakiman.

Ini adalah salah satu sebab mengapa banyak kes tertunggak dalam negara. Contohnya, jika pertikaian itu berkaitan pembinaan, orang yang terbaik untuk menjadi pembicara fakta sudah semestinya mereka yang terdiri daripada jurutera atau arkitek yang berada dalam bidang berkaitan, bukannya majistret atau hakim.

Untuk pengetahuan awak, selama bertahun-tahun saya telah merumuskan konsep yang menjadi rujukan universiti dan timbang tara untuk memberi kuasa kepada ahli akademik, peguam dan lain-lain yang mempunyai kepakaran dalam hal perkara berkaitan untuk duduk sebagai penimbang tara bagi pertikaian yang difailkan di mahkamah atas kelulusan mahkamah.

Konsep ini adalah konsep yang diluluskan oleh ahli undang-undang dan pasukan saya telah menulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua tahun lalu. Namun sehingga kini kerajaan masih belum memberikan maklum balas.

Walhal konsep ini mendapat sokongan daripada semua lapan universiti yang ada bidang undang-undang dan ahli perundangan terkemuka di Malaysia serta luar negara. Bekas Presiden Mahkamah Agung di United Kingdom (UK) pun telah menyemak konsep itu.Hamid Sultan Abu Backer ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur baru-baru ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG DIKOMPROMI

Adakah wajib seseorang Peguam Negara dalam kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (PKP) dan diwujudkan semula Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan?

Pada pandangan saya, doktrin pengasingan kuasa seharusnya mesti dihormati dengan sewajarnya supaya kedaulatan undang-undang negara ini dapat berfungsi dengan baik dan paling penting kita juga dapat memastikan rasuah serta amalan yang melanggar integriti tidak berlaku.



Bagaimanapun, saya melihat doktrin pengasingan kuasa tidak dapat dilakukan dengan begitu mudah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, kerajaan mengambil graduan undang-undang yang baharu sebagai penasihat undang-undang kerajaan, menjadi majistret, Pendaftar Mahkamah dan berkhidmat di Pejabat Peguam Negara.

Mereka ini juga selalunya dipindahkan untuk memegang semua jawatan dan jabatan undang-undang yang saya sebutkan tadi.

Akhirnya, mereka dipilih untuk menjadi hakim atau menjadi Peguam Negara. Selepas itu apabila bersara ada yang diberi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain. Jadi, ini menjadi salah satu sebab berlakunya kompromi kedaulatan undang-undang dan integriti dalam pentadbiran negara itu sendiri.

Amalan sebegitu tidak berlaku di United Kingdom (UK) atau negara komanwel lain yang indeks rasuahnya rendah.

Adakah pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah mampu menyelesaikan perkara berbangkit seperti kes liwat?

Untuk pengetahuan awak, perkara-perkara yang berkaitan syariah adalah bersifat teknikal.

Dalam hal ini sudah semestinya kita memerlukan nasihat dan bimbingan Pakar Perlembagaan dari luar negara duduk bersama pakar yang ada di sini untuk menyusun semula (Perlembagaan Persekutuan) kita tanpa melanggar semangat dan hasrat Perlembagaan Persekutuan.

Ia boleh dilakukan secara mudah dengan memberi kuasa kepada ombudsman yang mempunyai kepakaran dalam semua bidang undang-undang dan amalan untuk mengumpulkan pandangan semua pihak berkepentingan dan mengenal pasti masalah dan cara menanganinya.Hamid Sultan Abu Backer ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur baru-baru ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN

SISTEM SYARIAH

Bagaimana pandangan Datuk terhadap sistem syariah di negara ini kerana ada yang dikatakan tidak kompeten?

Undang-undang keluarga syariah adalah mudah dan lurus ke hadapan dan kebanyakan orang Islam yang celik cukup sedar tentang perkara berkaitan.

Bahkan peruntukan yang ada dalam al-Quran sendiri mengarahkan pertikaian keluarga diselesaikan melalui timbang tara dan bukannya cara litigasi seperti sistem mahkamah sekular.

Sekarang ini kita bernasib baik kerana kebanyakan peguam berbangsa Melayu yang juga beragama Islam turut menjadi pengamal undang-undang sivil.

Malah saya sanggup dan bersedia memberikan ilmu kepada mereka dan juga ahli akademik syariah untuk duduk sebagai penimbang tara.Cukup dengan hanya program sehari.

Dua tahun lalu pun lebih kurang 155 hakim dan pendaftar syariah telah dilatih untuk duduk sebagai penimbang tara di bawah konsep saya.

Sebaik sahaja penimbang tara dilatih, penimbang tara akan tahu siapa yang harus dipilih untuk memikul tanggungjawab tersebut. Malah pesara kerajaan pun boleh dilatih untuk duduk sebagai penimbang tara dalam Syariah.

Justeru saya fikir Akta Timbang Tara Malaysia 2005 boleh digunakan dalam timbang tara syariah dan keputusan boleh dimasukkan sebagai penghakiman persetujuan dengan kelulusan mahkamah syariah dan semua pihak. Ini secara tidak langsung akan mengatasi masalah kes-kes tertunggak mahkamah.

HAKIM BERPIHAK KEPADA KERAJAAN

Banyak tanggapan masyarakat terhadap sistem kehakiman yang dilihat menyebelahi kerajaan. Bagaimana ia mampu diubah?

Sebaik sahaja percubaan fakta untuk mahkamah sivil dan jenayah dikeluarkan dengan memperkenalkan timbang tara dan perbicaraan juri untuk perbicaraan politik dan korporat, pentadbiran secara adil akan berfungsi mengikut peraturan undang-undang.



Saya telah menulis banyak artikel mengenai perkara ini. Jika kerajaan membenarkan saya dan pasukan saya boleh menunjukkan keputusan dalam masa atau dua tahun.

Bagaimana kita mampu pastikan sesebuah undang-undang itu tidak dicabar di mahkamah?

Di bawah Perlembagaan kita semua undang-undang boleh dicabar. Tetapi apabila ia datang untuk menghapuskan undang-undang yang bersifat kontroversi kerana isu agama atau kemanusiaan, maka mahkamah sendiri boleh memberi beberapa garis panduan kepada Parlimen untuk meminda undang-undang mengikut Perlembagaan sebagaimana yang berlaku di India.

PENGASINGAN KUASA

Adakah pengasingan kuasa Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya mampu direalisasikan?

Ia tidak akan menjadi produktif jika pengasingan kuasa berlaku. Hal ini kerana pengasingan kuasa di Malaysia sekadar mitos atau omong kosong sahaja apabila memperkatakan tentang isu ini di Malaysia.

Pengasingan kuasa tidak bermakna kalau kumpulan sama yang menjadi hakim dan pendakwa raya daripada skim perjawatan sama misalnya lulusan undang-undang yang diterima oleh pegawai undang-undang berkenaan.

Selepas itu, ditempatkan pula sebagai timbalan pendakwa raya dan kemudian ditukar sebagai Majistret dan hHakim Mahkamah Sesyen.



AFIDAVIT AHMAD ZAHID

Komen Datuk berkenaan afidavit yang difailkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi?

Ini pertama kali dalam sejarah politik apabila ada Timbalan Perdana Menteri mendakwa kerajaannya menyembunyikan perintah dikeluarkan ketua negara,

Justeru pada saya, Majlis Raja-Raja perlu memulakan inkuiri berhubung kandungan afidavit difailkan Zahid dengan melibatkan tindakan mahkamah dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait proses pengampunannya.

Majlis Raja-Raja sepatutnya mengambil tahu tentang afidavit berkenaan dan mengarahkan inkuiri sewajar terhadap kandungannya.

Malah inkuiri sedemikian boleh dilaksanakan secara bebas daripada prosiding mahkamah sedang berjalan dan tidak akan dianggap subjudis.

Saya fikir Raja-Raja perlu bertindak segera bagi mendapat kebenaran apa didakwa dalam afidavit. Ia sangat penting untuk kebenaran.

Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan Raja-Raja bagi penyelesaian menangani perkara sensitif. Kuasa mutlak memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum, menggantung atau meringankan hukuman.

SISTEM JURI

Perlukah menggubal undang-undang bagi melaksanakan semula sistem juri?

Tidak perlu. Kita perlu menggunakan mekanisme sama yang pernah digunakan Malaysia sebelum ia dimansuhkan sekitar tahun 1990-an. Cuma kita perlu menambah baik mekanisme juri yang pernah dilaksanakan pada sebelum ini.

Alasan Malaysia menghapuskan sistem juri kerana berpandangan barisan juri tidak arif sistem perundangan. Jadi, kita boleh menerapkan pendedahan dan pengetahuan aspek perundangan sebelum diterima masuk sebagai juri.

Sistem ini bukan baru bagi Malaysia, jadi tiada keperluan untuk menggubal kaedah lain. Sebaliknya laksanakan semula.

Sebelum ini, biasanya diwakili oleh barisan juri yang merupakan penjawat awam. Jika kita mahu melaksanakannya, mungkin ia perlu terdiri dalam kalangan pakar-pakar profesional bidang lain.

Saya yakin kita dapat mengembalikan sistem juri, dapat memulihkan sistem kehakiman negara dengan memastikan segala keputusan diputuskan dibuat dengan adil dan dihormati masyarakat.- Mingguan Malaysia

Ulasan