‘Perjuangan ini jangan nak cepat menang sahaja’





‘Perjuangan ini jangan nak cepat menang sahaja’
May 26, 2024


Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, untuk mentadbir negara memerlukan kekuatan yang sekata dan seimbang daripada pelbagai kaum.


Justeru, ujarnya PAS akan meneruskan agenda penyatuan ummah berpandukan Al-Quran.

“Seruan penyatuan ummah bermula dengan wehdatul fikr dan wehdatul amal sesama ahli. Kemudian diperluaskan penyatuan Melayu dengan acuan Islam, tanpa meninggalkan bangsa lain yang tidak memusuhi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam kali ke-37 di Dewan Seri Hatinie, Plaza Alam Sentral, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS istiqamah berpegang kepada aqidah perjuangan Islam dan bergerak atas konsepnya.

“Perjuangan ini jangan nak cepat menang sahaja. Allah SWT menangguhkan kemenangan bila kita tidak sedia untuk menyahut kemenangan atau menyiapkan persiapan bagi mendukung kemenangan tersebut.

“Allah ada ‘jadual’, tugas kita bekerja, melengkapkan dan mencukupkan syarat hingga Allah turunkan kemenangan. Kalau kamu tolong agama Allah, Allah akan tolong kamu. Maka tanggungjawab kita ialah meletakkan syarat tersebut.

“Adapun bila waktu, kita bekerja bersungguh-sungguh, terkadang kita bekerja di tempat lain, tapi Tuhan bagi tempat lain. Kadang-kadang tempat yang kita sangka boleh menang, tiba-tiba tak menang, tempat yang kita sangka tak menang, tiba-tiba boleh menang,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, PAS bekerjasama dengan semua pihak, namun tidak boleh sekali-kali diheret keluar atau tergelincir daripada landasan. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

Ulasan