PH dulu kata Akta Hasutan ‘drakonian’, sekarang?



PH dulu kata Akta Hasutan ‘drakonian’, sekarang?
May 16, 2024

JOHOR BAHRU: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai bermuka-muka apabila menggunakan Akta Hasutan 1948 secara berleluasa, sedangkan dahulu mereka mendakwa ianya undang-undang ‘drakonian’.

Aktivis rakyat, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, mereka juga pernah menggugurkan banyak kes melibatkan pemimpin PH atas undang-undang itu sewaktu mula berkuasa menggunakan alasan tersebut.

“Sebelum PH memerintah pada 2018, bukan sedikit ahli politik pimpinan PH kena pertuduhan Akta Hasutan. Tetapi semuanya digugurkan sebaik sahaja mereka memerintah atas alasan Akta Hasutan dia gelar ‘the drakonian law’, lapuk dan zalim. (Tahun) 1948 dia buat bukan? Lama dah.

“(Kerana undang-undang itu) lapuk dan zalim dan tidak relevan dan mereka ingin memansuhkannya, lantas pemimpin mereka digugurkan termasuk ada yang jadi menteri hari ni, dia gugurkan. Tiba-tiba dia berkuasa, dia gunakan Akta Hasutan lebih ganas daripada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media usai perbicaraan semakan oleh pihak Pendakwaan untuk mengenepikan perintah larangan dan memberikan ‘gag order’ terhadap beliau dalam pertuduhan tersebut.

Che’gu Bard turut menafikan bahawa hantaran beliau di media sosial berkaitan isu kasino Forest City bertujuan untuk menghina Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya untuk mempertahankan baginda daripada fitnah yang dibuat oleh media asing.

“Pertuduhan (terhadap saya) jelas. Tidak ada sebuah perkataan saya (bermaksud begitu). (Saya) bercakap soal Perlembagaan Negara, saya bercakap soal perundangan.

“Tidak ada fitnah. Tapi tak apa, itu saya berdepan. Ini jalan sukar yang saya pilih,” ujarnya dalam sidang media tersebut yang turut disertai peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar menetapkan tarikh 20 Mei depan bagi keputusan perintah larangan bersuara terhadap Che’gu Bard berkaitan isu itu. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

Ulasan