PMX tak jelaskan persoalan ‘gajah dalam bilik’




PMX tak jelaskan persoalan ‘gajah dalam bilik’
May 23, 2024

Share
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR: Perutusan Negara yang disampaikan oleh Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melegakan rakyat yang sedang terhimpit kesan kenaikan kos sara hidup.

Perutusan pada malam kelmarin itu, malah mengelirukan serta membangkitkan perasaan marah rakyat apabila berterusan dihidangkan dengan retorik bagi menjustifikasikan kegagalan PMX dalam mengotakan janji sebelum berkuasa.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, rasionalisasi subsidi bahan api seperti yang diutarakan PMX dalam perutusan berkenaan, akan melibatkan keseluruhan rantaian ekonomi dalam pada rakyat sudahpun terbeban dengan kos sara hidup yang mencanak.

“Persoalan gajah dalam bilik (elephant in the room) yang tidak dijelaskan adalah bilakah tarikh rasionalisasi subsidi minyak akan dikuatkuasakan dan bagaimanakah mekanisme kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat?

“Rakyat mahu tahu, bila sebenarnya harga minyak akan naik?”

“Macam mana mereka mahu mohon bantuan? Ia tidak diperincikan.”

“Setelah berbulan-bulan kerajaan ini masih mengamalkan prinsip ‘umum dahulu, kemudian fikir.

“Apakah apabila Menteri Ekonomi mengumumkan tiada lagi geran untuk usahawan bumiputera ini bermaksud mereka ini juga ditakrif sebagai golongan ‘maha kaya’ yang diwiridkan Perdana Menteri hingga tidak lagi layak mendapat geran?” kata Ketua Pembangkang dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Hamzah, walaupun PMX bangga menyebut potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion bagi suku pertama 2024 malam tadi.

Realitinya, Pelaburan Langsung Asing (FDI) bersih bagi suku pertama 2024 hanya RM5.5 bilion, merudum lebih 50 peratus berbanding RM12 bilion yang diraih untuk tempoh sama 2023. Angka FDI bersih ini tidak disebut malam tadi.

Selain itu, beliau juga menyatakan kadar pertumbuhan 4.2 peratus bagi suku pertama 2024 juga adalah penurunan signifikan daripada kadar 5.6 peratus untuk tempoh sama 2023.

Penurunan kadar pertumbuhan suku pertama 2024 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ini bertentangan dengan trend kenaikan KDNK bagi negara jiran dan negara dagangan utama Malaysia.

“Jika dilihat, KDNK Amerika Syarikat misalnya naik dari 1.7 peratus kepada 3.0 peratus; China naik dari 4.5 peratus kepada 5.3 peratus; Singapura naik dari 0.5 peratus kepada 2.7 peratus dan Indonesia juga naik dari 5.0 peratus kepada 5.1 peratus.

“Jika negara dagangan utama kita naik, mengapa (KDNK) Malaysia menurun?” soalnya.

Pada masa yang sama, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan juga telah naik melebihi RM167 bilion dari RM1.399 trilion pada akhir tahun 2022 ke RM1.567 trilion pada suku pertama 2024.

“Begitu juga jumlah hutang langsung kerajaan yang sudah berjumlah RM36.7 bilion bagi suku pertama 2024. Ini adalah bertentangan dengan janji-janji Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan naikkan lagi hutang.

“Sebab itu saya agak pelik apabila Perdana Menteri dengan bangga menyebut ekonomi suku pertama 2024 sebagai memberangsangkan kerana angka ini memperlihatkan sebaliknya,” tegasnya.

Tambah Hamzah, usaha untuk membasmi kemiskinan tegar ini seolah-olah baru bermula, berbeza sama sekali dengan janji dalam Belanjawan 2023 lalu untuk menoktahkan kemiskinan menjelang tahun 2024.

Walau bagaimanapun, Hamzah mengucapkan kesyukuran kerana akhirnya PMX akur bahawa rakyat sedang terhimpit walaupun sebelum ini beliau mendabik dada menjanjikan mahu menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat dalam masa dua minggu.

“Sebab itu jangan kelirukan rakyat dengan angka-angka muluk yang tidak berpijak kepada bumi yang nyata,” ungkapnya.

Beliau juga menyatakan bahawa perutusan PMX berkenaan hanya melebarkan ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan dan sejarah telah membuktikan, banyak kerajaan di luar sana yang jatuh disebabkan tidak lagi dipercayai rakyat.

“Sebagai pembangkang, Perikatan Nasional (PN) akan terus bersuara sebagai kuasa semak dan imbang demi kepentingan rakyat dan negara tercinta,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

Ulasan