PN anggap isu hak 40 peratus hasil Sabah bercelaru





PN anggap isu hak 40 peratus hasil Sabah bercelaru
May 25, 2024


Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) Sabah mendakwa kenyataan Peguam Besar negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berhubung tuntutan 40 peratus oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) adalah bercelaru.


Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata hujahan peguam berkenaan prosiding sebelum ini jelas hanya merupakan pendirian kerajaan Sabah.

“Kecuali jika kenyataan peguam itu dicabar oleh pasukan Peguam Besar Sabah dalam prosiding mahkamah seterusnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri dan Peguam Besar Sabah pada 17 dan 19 Mei lalu sangat bertentangan dengan pendirian.

Katanya lagi, kenyataan dua pihak tersebut adalah senada dan seiring iaitu supaya Kerajaan Sabah berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan melalui mahkamah.

“Ini bertentangan dengan pendirian kononnya mereka gigih perjuangkan hak Sabah.

Ronald berkata, kerajaan Sabah lalai dalam menilai pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap isu tuntutan 40 peratus itu.

“Walaupun mereka mengaku bahawa telah mengutus permintaan sebanyak lapan kali untuk mendapatkan data kutipan cukai Sabah, namun tidak dilayan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata lagi, pendirian kerajaan Sabah kini mula ‘ke belakang’ apabila selepas dihambat oleh rakyat Sabah.

Ini, katanya jelas apabila kerajaan Sabah telah meletak beban kekhilafan mereka kepada peguam yang dilantik untuk mewakili mereka, Peguam Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kenyataan pada 24 Mei jelas menunjukkan Kerajaan Sabah kini telah menerima hujahan SLS untuk meneruskan semakan kehakiman, menarik balik semua hujahan locus standi SLS.

“Seterusnya, hujahan yang merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘aspirasi’ dan bukan hak mandatori atau mutlak Sabah,” katanya.

Tegas beliau, rakyat Sabah tidak boleh lagi menyandarkan harapan kepada kerajaan negeri untuk memperjuangkan hak rakyat untuk mendapatkan pulangan 40 peratus.

“Pendirian tidak konsisten dan kusut Kerajaan Sabah menyebabkan hal Sabah dikompromi dan amat merugikan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

Untuk rekod, Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu menetapkan 18 Jun untuk keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap kebenaran diperoleh SLS untuk meneruskan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil Sabah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Dr Choo Kah Sing menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes yang diadakan secara dalam talian, semalam. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

Ulasan