PRK Kuala Kubu Baharu: Pas ulangi ‘haram’ ahli tak keluar mengundi



PRK Kuala Kubu Baharu: Pas ulangi ‘haram’ ahli tak keluar mengundi
TAKIYUDDIN Hassan berucap pada Ceramah Perdana Bersama Muhyiddin Yassin sempena PRK Kuala Kubu Baharu dekat Taman Ampang Pecah di Hulu Selangor, Selangor. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Oleh MOHAMAD ATHIR BIN ISMAIL
7 Mei 2024, 12:52 am

HULU SELANGOR: Pas sekali lagi mengulangi pendirian ‘haram’ bagi ahli parti itu jika tidak keluar mengundi khususnya pada ketika ini Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Justeru, ahli-ahlinya yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut diseru keluar mengundi pada 11 Mei ini termasuk mereka yang berada di luar kawasan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bukan fatwa, sebaliknya penegasan kepada ahli-ahli terhadap kewajiban kepada ahli mematuhi arahan dikeluarkan oleh parti.

“Jadi sekali lagi saya menyeru terutama rakan-rakan daripada Pas, haram bagi ahli Pas tak keluar mengundi di Kuala Kubu Baharu. Bukan satu fatwa, tetapi adalah penegasan kita, haram.

“Kalau Tok Guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) kata fardhu ain, samalah itu, haram kalau kita tak buat. Kita keluar mengundi, pastikan kita, rakan, keluarga dan jiran-jiran mengundi calon nombor satu, Khairul Azhari Saut calon Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam ucapan pada Ceramah Perdana Bersama Muhyiddin Yassin, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi dalam ceramahnya pada pelancaran jentera PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu menegaskan kewajiban mengundi untuk mempertahankan Islam adalah perjuangan jihad yang boleh dianggap sebagai fardu ain dan bukan lagi fardu kifayah.


Beliau berkata, perjuangan bersungguh-sungguh mempertahankan Islam tidak semestinya melalui peperangan.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha PN ketika ditemui selepas program tersebut menjelaskan, penegasan tersebut tidak akan menimbulkan salah faham apabila perkara itu tercatat dalam perlembagaan parti.

“Itu arahan daripada Presiden Pas sendiri, bahasanya fardhu ain iaitu wajib, kalau tak buat haram. Seluruh pengundi terutama dalam kawasan Kuala Kubu Baharu.

“Tak timbul salah faham sebab dalam perlembagaan kita, arahan daripada parti adalah suatu yang perlu dipatuhi, tak patuh arahan parti boleh dikenakan tindakan disiplin. Jelas dalam perlembagaan Pas, arahan dan peraturan dibuat oleh parti perlu di patuhi,” ujarnya.

Malah, katanya lagi, terpulang kepada penyokong parti lawan untuk membuat tafsiran.

“Itu terpulang (tafsiran terhadap) perkataan haram, judi haram pun ada,” jawabnya. – UTUSAN

Ulasan