Rakyat berhabis RM4.6b di Thailand tahun lalu




Rakyat berhabis RM4.6b di Thailand tahun lalu

HATYAI adalah antara lokasi pelancongan di Thailand yang paling menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia yang merekodkan lebih empat juta pengunjung ke negara gajah putih itu tahun lalu. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh ASYRAF MUHAMMAD
13 Mei 2024, 8:00 am

PHANG NGA, THAILAND: Kerancakan sektor pelancongan di Thailand yang menjadi fenomena kebelakangan ini menyaksikan kemasukan sekitar 28 juta pelancong dari seluruh dunia sepanjang tahun lalu ke negara gajah putih itu.

Daripada jumlah itu, pelancong dari Malaysia yang memasuki Thailand direkodkan sebanyak 4.56 juta orang.

Ini bermakna jika setiap pelancong Malaysia membelanjakan purata RM1,000 seorang, dianggarkan RM4.6 bilion duit rakyat negara ini mengalir ke negara jiran tersebut sepanjang tahun lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak RM161.52 bilion dibelanjakan para pelancong yang berkunjung ke negara gajah putih tersebut dalam tempoh sama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, jumlah kehadiran pelancong ke negara jiran itu dijangka terus meningkat pada tahun ini.

“Untuk tahun ini, angka tersebut dijangka meningkat berdasarkan trend kemasukan pengunjung ke negara gajah putih itu,” katanya.


Pada November tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan seramai tiga juta pelancong Malaysia direkodkan memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung ke Hatyai bermula dari awal tahun sehingga
Oktober.


Dalam tempoh sama, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang.

Antara lokasi percutian yang sering menjadi tum­puan di Thailand adalah Hatyai yang mana setiap kali musim cuti persekolahan dan hujung ming­gu pasti dipenuhi pelancong khususnya dari negara ini.

Malah beberapa kali tinjauan dilakukan akhbar ini sebelum ini mendapati lokasi pelancongan, kedai makan dan hotel penuh dengan kehadiran rakyat Malaysia, malah di jalan-jalan raya dipenuhi bas pelancong.

Menurut Ahmad Fahmi, terdapat beberapa faktor mendorong kemasukan pelancong ke Thailand antaranya dise­babkan oleh kos yang murah berbanding negara-negara lain.

“Pelbagai jenis tarikan pelancongan yang ada di Thailand sedikit sebanyak menjadi daya penarik untuk pengunjung datang ke sini.

“Malah makanan-makanan enak dan kena dengan cita rasa rakyat Malaysia turut menjadi antara daya penarik rakyat kita gemar ke sini, selain jaraknya yang dekat,” katanya.

Di samping itu, Ahmad Fahmi memberitahu, pemain industri pelancongan di Thailand juga sememangnya amat menitikberatkan aspek laya­nan hospitaliti ke atas setiap pelancong yang datang ke negara itu.

Ujarnya, perkara itu boleh dicontohi rakyat dan pengusaha industri pelancongan di Malaysia dalam menarik kehadiran pelancong luar.

“Thailand sememangnya amat meraikan tetamu mereka dan mungkin kita di Malaysia boleh mencontohi sikap ini dan mengalu-alukan keha­diran tetamu ini,” katanya.

Tambahnya, faktor tersebut dilihat mampu menjadi antara daya penarik bagi memastikan lebih ramai pengunjung luar meluangkan masa untuk bercuti ke Malaysia.

“Selain mempunyai lokasi tarikan menarik, aspek hospitaliti yang mesra dalam kalangan rakyat dan pengusaha pelancongan di Malaysia berupaya menarik pengunjung ke negara ini,” katanya. – UTUSAN

Ulasan