SOP di tanah suci mencukupi untuk sebarang kemungkinan



SOP di tanah suci mencukupi untuk sebarang kemungkinan
PETUGAS Tabung Haji sentiasa bersedia memberi perkhidmatan di sekitar Masjidil Haram.
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
19 Mei 2024, 8:51 am

MEKAH: Prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berkaitan aspek keselamatan jemaah semasa di tanah suci sudah mencukupi untuk petugas dengan berlandaskan sistem pengurusan ISO 9001 2015 perkhidmatan haji.

Menurut Pengarah Operasi Maktab, Khairoddin Ahmad, ini merupakan prosedur yang perlu dipatuhi untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk musibah seperti kejadian tren tumbang dan rempuhan Mina.

Malah beliau dalam masa yang sama berkata, selain SOP Tabung Haji akan berdepan cabaran terbesar yang dihadapi semasa operasi masyair dengan mengikut sistem pengurusan berkenaan.

“Ini termasuk daripada segi persiapan untuk membawa jemaah haji ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan patah balik ke penginapan di Mekah.

“Kerjasama amat penting dan kita mendapat bantuan kolaborasi daripada pasukan Jeddah dan Madinah. Kita akan ada kekuatan anggota yang mencukupi. Selain itu kita perlu mempunyai komunikasi dengan baik lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran operasi Masyair nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Khairoddin berkata, terdapat 12 maktab di Mekah dengan setiap maktab menempatkan 3,000 jemaah.


Tambah Khairoddin, pengurus antara orang yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan keselesaan jemaah sebelum mereka sampai dengan memastikan segala keperluan mengikut standard yang ditetapkan.

“Bagi musim haji kali ini, Pasukan Pusat Perkhidmatan Maktab 87 dianggotai 106 petugas termasuk 14 orang di pejabat selain dua penasihat ibadat tanah suci (Pihtas)

“Sementara menunggu operasi masyair kita penuhkan dengan program dan pengisian ibadah haji supaya jemaah kita bersedia,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan