SPM 2023 rekod pencapaian terbaik





SPM 2023 rekod pencapaian terbaik
PELAJAR, Amir Hariz (dua, kiri) ditemani ibunya, Yanti Erana Jalil dan bapa, Amir Mohd. Hafiz Amir Khalid serta neneknya, Arpah Othman, meraikan keputusan cemerlang SPM 2023 di pekarangan Masjid Hidayah Kampung Banggol Mempelam, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
28 Mei 2024, 8:00 am

PUTRAJAYA: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 merekodkan pencapaian terbaik sejak tahun 2013 apabila menyaksikan seramai 11,713 atau 3.1 peratus daripada 373,525 calon memperoleh keputusan semua A.

Jumlah itu meningkat 0.4 pe­ra­tus atau 1,604 calon berban­ding 10,109 calon bagi SPM 2022 yang berlangsung pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac lalu.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, secara keseluruhan seramai 226,358 calon atau 60.6 peratus daripada 373,525 calon telah lulus sekurang-kurangnya semua ma­ta pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata, peratus calon yang layak menerima sijil SPM juga meningkat kepada 93.5 pe­ratus bagi SPM 2023 berbanding 91.6 peratus pada tahun 2022.

“Seramai 349,297 calon SPM 2023 layak dapat sijil iaitu pe­ning­­katan 6,555 calon berban­ding 342,742 calon pada SPM 2022.

“Pencapaian itu dianggap terbaik sejak tahun 2013 berdasarkan syarat pensijilan SPM yang menetapkan calon sekurang-kurangnya lulus dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2023 di sini, hari ini.

Katanya, secara keseluruhannya, Gred Purata National (GPN) bagi SPM 2023 adalah 4.60 iaitu lebih baik berbanding SPM 2022 (4.74).

Azman berkata, daripada 95 mata pelajaran yang diduduki calon pada SPM 2023, 66 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 25 mata pelajaran mencatatkan penurunan dan empat mata pelajaran tidak berubah atau kekal prestasi.

Menurutnya, prestasi kesemua mata pelajaran teras dalam peperiksaan SPM 2023; iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains menunjuk kan peningkatan.

“Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi, iaitu sebanyak 0.20 mata, manakala mata pelajaran Bahasa Melayu pula menunjukkan prestasi terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.86 mata,” katanya.

Bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula, Azman berkata, sebanyak 78.9 peratus daripada 1,726 orang calon layak memperoleh sijil SPM 2023 berbanding 75.8 peratus pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 3.1 peratus atau 233 calon.

Jelasnya lagi, pencapaian SPM 2023 bagi kedua-dua kategori calon bandar dan luar bandar juga telah menunjukkan peningkatan namun, jurang pencapaian calon antara bandar dan luar bandar tetap kekal, iaitu pada 0.43 mata seperti peperiksaan SPM 2022.

Dalam pada itu, hampir kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan pencapaian dalam SPM 2023.

Kedah mencatatkan pencapaian tertinggi keputusan SPM 2023 dalam tempoh 13 tahun dengan GPN 4.77 berbanding GPN 4.98 pada SPM 2022.

Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman berkata, pencapaian calon bandar meningkat 0.2 mata iaitu 4.77 mata pada tahun lalu berbanding 4.97 mata pada 2022. Pencapaian calon luar bandar juga meningkat 0.35 mata iaitu 4.77 mata pada 2023 berbanding 5.12 mata pada 2022.

Di Johor, seramai 1,247 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri itu memperoleh keputusan cemerlang dengan 20 daripadanya memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd. Hanafi Samad berkata, Johor merekodkan GPN 4.48 mata pada tahun lalu, mengatasi pencapaian GPN Nasional pada 4.60 mata.

Situasi sama di Negeri Sembilan apabila pencapaian GPN SPM 2023 menunjukkan prestasi lebih baik iaitu 4.33, sekali gus melepasi GPN Nasional.

Di Selangor, sebanyak 58,082 atau 91.14 peratus calon SPM 2023 layak mendapat sijil dengan 2,005 pelajar memperoleh keputusan semua A.

Di Terengganu, seramai 646 calon memperoleh semua A dalam keputusan yang diumumkan, menunjukkan peningkatan 0.76 peratus.

Perkembangan positif juga dicatatkan di Perak dengan pencapaian GPN bagi SPM 2023 adalah 4.75 berbanding 4.92 pada tahun lalu apabila seramai 772 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.

Di Perlis, seramai 50 calon memperoleh keputusan semua A bagi setiap mata pelajaran manakala di Putrajaya, sebanyak 187 daripada 1,843 calon merekodkan keputusan cemerlang semua A.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil Banat muncul sekolah terbaik di Kelantan apabila mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.55 pada SPM 2023.

Sarawak mencatat GPN terbaik dalam tempoh sedekad sebanyak 4.92 pada SPM 2023 dengan seramai 726 daripada 32,588 calon sekolah kerajaan yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan cemerlang lulus semua A. – UTUSAN

Ulasan