Tak sangka, luahan di media sosial ditunai MB





Tak sangka, luahan di media sosial ditunai MB
May 14, 2024


KANGAR: “Terima kasih cikgu, (kerana) mai (datang) melawat ayah,” demikian kata diungkap oleh Azhar Yaakub, menantu kepada Abdul Mat Jaafar, 82 ditujukan kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Beliau memaklumkan perasaan terharu dan tidak menyangka permintaan ayahnya dapat dilaksanakan begitu cepat, ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Terdahulu, ayah mertuanya menyatakan hasrat bersua muka dengan Mohd Shukri, namun Azhar serba salah mencari cara mahu menunaikan permintaan tersebut.

Selepas menyatakan permintaan itu di laman media sosialnya, dia tidak menyangka ada pegawai Menteri Besar membaca status tersebut dan memberitahu kepada Shukri yang lebih mesra dipanggil Cikgu Shukri.

Mohd Shukri sendiri sejurus dimaklumkan mengenai status tersebut, telah bersama beberapa pegawainya meluangkan masa ke kediaman Abdul Mat di Kampung Telaga Idi, Kuala Perlis, di sini semalam.

“Alhamdulillah selepas saya menerima kunjungan hormat dari barisan peguam Perlis semalam terus saya bergegas ke Kuala Perlis, bukan atas urusan rasmi. Bukan kerana jadual program yang disusun, tetapi lebih kepada memenuhi hasrat seorang ayah kepada anaknya.

“Pegawai saya ada menunjukkan satu ‘posting Facebook’ berkenaan keluhan seorang ayah yang terlantar dan nak berjumpa MB Perlis. Walaupun jadual padat sampai ke malam, saya cari masa juga dan terus ajak pegawai saya pergi menziarahi keluarga ini,” katanya.

Azhar dan isteri beliau mengambil tanggungjawab menjaga ayahnya yang diuji sakit tua selain ibu mertuanya juga baru sahaja menjalani rawatan mata.

“Walaupun diuji dengan masalah kesihatan, namun jelas perasaan gembira beliau melihat kehadiran saya, Insya-Allah saya doakan diberi kesembuhan dan dimudahkan urusan keluarga ini.

“Kadang usaha kecil kita menggembirakan orang lain, Allah akan terus memberi kita senyuman walaupun kita diuji pelbagai ujian,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/5/2024

Ulasan