Turkiye gantung semua aktiviti perdagangan dengan Israel
RECEP TAYYIP ERDOGAN
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
3 Mei 2024, 9:00 pm
ISTANBUL: Turkiye menggantung semua perdagangan dengan Israel berikutan serangannya terhadap Gaza yang mencetus tragedi kemanusiaan terburuk di wilayah itu.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Turkiye berkata, urus niaga eksport dan import dengan Israel sudah dihentikan yang meliputi semua jenis produk.
Langkah itu akan dilaksanakan sehingga Israel membenarkan aliran bantuan tanpa gangguan dan mencukupi ke Gaza.
“Sejak hari pertama, negara kita bergegas menyampaikan puluhan ribu tan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu dengan kapal dan pesawat, memindahkan ribuan pesakit dan berdiri bersama saudara Palestin kita pada hari-hari yang sukar ini.
“Bagaimanapun, pembunuhan beramai-ramai, malapetaka kemanusiaan dan kemusnahan fizikal yang disebabkan oleh Israel berterusan, malah mereka tidak mengendahkan usaha gencatan senjata antarabangsa dan menghalang penghantaran bantuan.
“Justeru Turkiye akan melaksanakan langkah baharu ini dengan tegas sehingga Israel membenarkan bantuan memasuki Gaza tanpa halangan,” jelas kenyataan itu.
Perdagangan antara kedua-dua negara dilaporkan bernilai hampir AS$7 bilion (RM33.2 bilion) tahun lalu.
Menteri Luar Israel, Israel Katz menuduh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan melanggar perjanjian perdagangan antarabangsa yang dimeterai antara kedua-dua negara berikutan tindakan tersebut.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman X, Katz malah mendakwa Erdogan bertindak seperti ‘diktator’ dan tidak menghiraukan kepentingan rakyat serta ahli perniagaan Turkiye.
Beliau menambah bahawa pihaknya sudah mengarahkan kementerian luar untuk mencari alternatif terhadap perdagangan dengan Turkiye, dengan tumpuan kepada pengeluaran tempatan dan import dari negara lain.
Tindakan itu adalah sekatan terbaharu yang dikenakan oleh Istanbul, satu daripada beberapa negara majoriti Islam yang mengiktiraf Israel.
Bulan lalu, Turkiye yang merupakan pengkritik tegar tindakan ketenteraan rejim Zionis mengumumkan menyekat eksport 54 jenis produk ke Israel, termasuk aluminium, keluli, produk pembinaan dan baja kimia.
Dalam pada itu, Pegawai Turkiye menegaskan pihaknya akan berkoordinasi dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk memastikan rakyat Palestin tidak terjejas oleh penggantungan perdagangan tersebut.
Kerajaan Erdogan yang mengalami kemerosotan besar dalam pilihan raya tempatan pada Mac lalu, berdepan tekanan kuat dari dalam negara untuk menghentikan perdagangan dengan Israel.
Awal minggu ini, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, negara itu memutuskan untuk menyertai kes undang-undang yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan akan mengemukakan permintaan rasmi untuk campur tangan dalam kes itu dalam tempoh terdekat.-AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan