'Video kaitkan Khairul Azhari, pelakon porno hanya tohmahan' - Muhyiddin




'Video kaitkan Khairul Azhari, pelakon porno hanya tohmahan' - Muhyiddin
Oleh Muhammad Yusri Muzamir - Mei 9, 2024 @ 9:12pm
Muhyiddin bersalaman bersama penduduk setempat pada program ramah mesra Perikatan Nasional Bersama Masyarakat India di Bandar Utama Batang Kali sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

HULU SELANGOR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penyebaran video pendek mengaitkan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dan pelakon porno di media sosial sebagai serangan politik semata-mata.

Pengerusi PN itu juga mendakwa ia adalah tohmahan, terutama ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu kini memasuki fasa akhir.

Presiden BERSATU itu juga menegaskan penyebaran video berkenaan tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap Khairul Azhari, mahupun perjalanan kempen yang berbaki kurang 48 jam.

"Dalam tempoh ini, macam-macam orang boleh buat. Kita tidak mudah terpedaya hanya kerana orang cerita begitu dan sebagainya.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Orang mahu buat fitnah, benda tak ada diada-adakan. saya tidak fikir pengundi harus terjebak dengan hal sebegitu dan fikir secara matang.

"Sudah hampir dua minggu kempen berjalan, segala maklumat (sudah disampaikan) dan kita pun sudah minta calon memperkenalkan diri. Rekodnya baik dan tidak isu yang disebutkan.


"Justeru, ini saya fikir adalah sebahagian tohmahan dan fitnah sebab mereka rasa tergugat dengan keadaan mungkin rasa sukar untuk menang kerana calon kita adalah calon yang baik," katanya.

Terdahulu, video pendek berdurasi seminit 12 saat itu memuatkan tangkap layar laman sosial peribadi Khairul Azhari yang dilihat mengikuti akaun dipercayai pelakon porno.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Khairul Azhari gagal selepas pemangku Ketua BERSATU Hulu Selangor itu enggan ditemu bual media, selain hanya menyatakan alasan perlu bergegas ke lokasi lain.

Ulasan