Adakah ranking berbentuk rasuah ilmiah?





Adakah ranking berbentuk rasuah ilmiah?
Oleh Dzulkifli Abdul Razak
13 Jun 2024, 8:00 am

MASANYA sudah tiba kembali yang mana keputusan ranking atau penarafan universiti menjadi berita tarikan pihak tertentu. Khususnya bagi mereka yang taksub dari kalangan politikus sehinggalah masyarakat awam. Masing-masing dengan sangkaan dan pandangan tersendiri, walaupun sekadar cara mudah mengikut kedudukan angka-angka yang diperoleh.

Nombor satu adalah lebih baik dari yang lain. Dua angka lebih baik dari tiga angka dan seterusnya. Jadi lagi banyak yang angka kecil, lebih berjayalah. Baik kepada yang dangkal sekali pun.

Tidak ramai yang berminat bagaimana angka itu diperoleh. Yakni aspek kaedah atau caranya tidak dihiraukan sangat. Ini dianggap terlalu ilmiah. Lagipun tidak mudah dihadam ramai, banyak yang tersirat dari tersurat. Maka dengan kefahaman agak cetek menyebelahi pihak pengusaha ranking yang rata-rata peniaga bercenderungkan keuntungan. Bukan ilmu.

Oleh itu, andaikan yang lebih sukar untuk difahami, maka lebih menguntungkan kerana kurang yang mempersoalkan itu dan ini. Jadi hentam sahaja. Ikut sahaja, bak si rabun mendahului si buta.

Inilah keadaan semasa sehinggakan pihak Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU) awal tahun ini terpanggil mengeluarkan laporan rasmi tentang kelemahan ranking dan mengesyorkan supaya jangan termakan bulat- bulat dakyah ranking.

Mengikut kumpulan pakar terlibat, ada sekurang-kurangnya sembilan kelemahan utama yang wajar diambil berat sebelum menyakini aktiviti ranking beserta para pengusahanya.


Ramai tidak tahu sejarah latar mereka berkaitan kegiatan yang dikaburi. Ada beberapa syarikat aktif di negara ini, tidak di negara lain. Maksudnya, Malaysia dijadikan sasaran ‘pasarannya’ untuk melariskan perniagaan sejenis ranking yang tidak ada ditempat lain.
Lagipun, berbanding dengan syarikat lain, ia agak ‘lemah’ dan mudah untuk ‘menang’. Bagaikan liga bola sepak kelas ketiga. Yang alah kadar pun ada peluang menang berbanding liga lain.

Dasarnya, asalkan dapat angka yang ‘cantik’ sahaja, sudah memadai. Siapa peduli liga apa? Biar juara dalam liga ketiga, daripada corot dalam liga lebih teratas.

Contoh terbaharu, apabila universiti tertua di Malaysia mendapat tempat pertama dalam ranking agak lemah antara sesama senarai negara. Tetapi mendapat tempat kedua dalam ranking yang lebih teratas terdapat sebuah universiti swasta (US) dengan meraih tempat nombor satu. Malangnya, dalam senarai ranking yang lemah tadi, US turut sama berada pada tangga kelapan, dibawah dua lagi US yang tidak langsung muncul dalam ranking satu lagi.

Nah! Betapa kelam kabutnya ranking khasnya kepada mereka yang suka berfikir dan merenungkan sedalam mungkin. Mengapa universiti A bagus di sini dan tidak di sana, tetapi bagi universiti B sebaliknya. Maka yang mana benar-benar ‘cemerlang’ atau berkelas dunia kononnya? Seolah-olah ada dunia-dunia yang berlainan? Kita di dunia mana pula, yang mengelirukan?

Lebih parah, dunia tersebut direka pihak pengusaha bagi menentukan yang jajahan lama terus terikat dengan cara lama. Ini kerana pendidikan merupakan alat penjajahan yang paling berkesan ke atas minda ‘terpelajar’ – gara-gara berkelas dunia!



RAMAI yang ‘tertipu’ dengan kedudukan ranking universiti yang diuar-uarkan khususnya dalam kalangan politikus dan masyarakat awam. – GAMBAR HIASAN



SEWENANG-WENANG
Terkini, ekoran peperangan genosid Hamas oleh Israel sejak 7 Oktober tahun lalu, lagi sekali terang-terangan tafsiran universiti berkelas dunia sewenang-wenang ditafsir semula. Universiti yang pelajar dan stafnya menyebelahi Hamas dan Palestin diselar dan dipaksa itu dan ini termasuk para pelajarnya disisihkan walaupun mereka adalah antara terbaik, tetapi ditarik balik hak berijazah melibatkan amalan pelbagai universiti dan ribuan pelajar.

Pendek kata, dunia mereka yang digubal semula, yakni asas nilai serta tanggapnya telah berubah untuk menyesuai kepentingan tersendiri. Maka haruskah kita bersekongkol dengan kedurjanaan mereka ini? Ataupun menolak terus.

Sungguhpun akan ada yang masih ‘bersetuju’ dengan selera pembunuhan beramai-ramai, namun rata-rata dunia sudah muak dengan keangkuhannya memutar belit aspek semasa demi melariskan keuntungan serta pengaruh. Satu taktik adalah dengan melibatkan pengiklanan tidak langsung tatkala universiti berminat menaja beberapa aktiviti berbentuk ilmiah. Hadnya bergantung kepada angka yang disebarkan. Jumlahnya mencecah berjuta-juta ringgit.

Dengan cara penajaan ini, peluang ‘menang’ bertambah cerah. Saya pernah melihat ini berlaku pada universiti tempatan sama ada disedari ataupun tidak. Kesudahannya pendidikan menjadi sekadar simbol kecemerlangan bukan hasrat yang menyelesaikan, mempamer Rahmatan Lil Alamin.
Mengutip kata-kata agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia boleh merupakan soal etika yang semesti ada menyisihan unsur-unsur nilai kepercayaan yang berlawanan.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ulasan