Ajar anak-anak tangani konflik



Ajar anak-anak tangani konflik
KANAK-KANAK perlu diperkenalkan dengan komunikasi tanpa keganasan dan komunikasi terbuka. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Oleh Meja Rencana
3 Jun 2024, 9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

KONFLIK bagi kanak-kanak yang dilahirkan dengan ketersediaan pelbagai jenis teknologi pada zaman ini adalah kompleks. Bukan lagi terhad kepada interaksi bersemuka, malah di alam maya.

Di usia seawal tiga ke empat tahun, kanak-kanak sudah mula terdedah dengan konflik dengan ibu bapa, adik-beradik, dan rakan sepermainan.

Kebolehan untuk mengawal situasi melalui pengaplikasian kaedah mengurus konflik yang ringkas dapat membantu kanak-kanak dalam membangunkan kemahiran sosial dan mengekalkan kesejahteraan emosi.

Melalui proses ini juga, mereka akan belajar mengenai kewujudan perbezaan dan kepelbagaian, kecenderungan untuk berlakunya bias dalam pemilihan, dan keperluan untuk mencapai kata sepakat.

Disebabkan faktor usia yang masih terlalu muda, pengenalan kemahiran sebegini dapat mengelakkan mereka daripada masalah buli atau diasingkan oleh rakan-rakan.


Hasilnya, anak-anak akan berasa lebih berkeyakinan untuk menyatakan kehendak mereka pada masa yang sama turut mempertimbangkan keperluan orang lain, atau dalam bahasa ringkasnya, mereka akan lebih bertimbang rasa.

Antara strategi yang boleh digunakan oleh ibu bapa adalah dengan menunjukkan contoh amalan yang baik. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian. Ibu bapa perlu perlu menjadi model kepada anak-anak.

Antaranya menggunakan nada suara yang sesuai mengikut situasi, mengawal emosi dan menormalkan perbincangan sesama ahli keluarga untuk menyelesaikan sesuatu isu.

Kanak-kanak perlu diperkenalkan dengan komunikasi tanpa keganasan dan komunikasi terbuka. Mereka perlu diberi pemahaman bahawa pemilihan perkataan, ekspresi muka, gestur badan dan sebagainya boleh memberi kesan kepada orang lain.

Selain itu, ibu bapa boleh membentuk persekitaran yang menggalakkan komunikasi terbuka supaya anak-anak dapat menyatakan perasaan dan pandangan mereka.

Amalan ringkas proses empat langkah bagi menguruskan konflik yang merangkumi pertama, giliran anda; kedua, giliran saya; ketiga, perancangan bersama, dan keempat, tindakan susulan boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam interaksi harian bersama anak-anak. Kaedah empat langkah ini juga merupakan salah satu strategi mengajar anak-anak mengenai teknik penyelesaian masalah.

Sekiranya berlaku sebarang konflik antara dua pihak, “giliran anda” bermaksud kita mempraktikkan untuk memberi peluang kepada pihak lain untuk menyuarakan pandangan, perasaan dan jangkaan.

Proses ini melatih seseorang individu untuk menjadi pendengar yang aktif. Dalam “giliran saya”, individu pula akan menceritakan kekangan, pandangan, dan perasaan yang dialami.

Penggunaan perkataan yang jelas dan bahasa yang sopan akan memudahkan pemahaman kedua-dua pihak. Setelah kedua-dua pihak memahami akan kekangan dan permasalah masing-masing, mereka perlu bersama-sama berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan mencadangkan kriteria tertentu yang boleh digunakan sebagai indikator bagi menunjukkan masalah tersebut telah berjaya diatasi dan juga jangkaan masa untuk menyemak pelaksanaan.

Akhir sekali, tindakan susulan adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk menilai sama ada konflik telah berjaya diselesaikan ataupun tidak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Kemahiran pengurusan konflik adalah sangat penting kepada kanak-kanak dan mereka perlu diberi pendedahan seawal mungkin. Ibubapa boleh mengaplikasikan pelbagai teknik bagi memberi pendedahan kepada anak-anak.

Dengan mengamalkan kaedah pengurusan konflik yang betul, ibu bapa akan menjadi model penting kepada pengurusan konflik berkesan bagi kanak-kanak. – UTUSAN

SITI NOORMI ALIAS

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Profesional dan Pendidikan Lanjutan

Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

Ulasan