‘Amukan’ diesel diterjemah 6 Julai ini
June 13, 2024
PADA 21 Mei lepas Perdana Menteri memberitahu Jemaah Menteri setuju melaksana penyasaran subsidi diesel untuk mengelakkan manfaatnya dikutip golongan maha kaya dan warga asing.
Kata Anwar Ibrahim subsidi tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing. Sekali gus memberi penjimatan kasar kerajaan kira-kira RM4 bilion setahun.
Itu alasan bulan Mei lalu. Namun tiba-tiba sekarang subsidi diesel dihapus bagi mengelakkan penyeludupan.
Kata jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil penyasaran subsidi diesel berjaya mengekang penyeludupan di sempadan. Datuk Seri mana satu betul ni.
Jelas alasan semakin berbeza. Dahulu kerana maha kaya dan warga asing. Namun hari ini muncul pula alasan penyeludupan. Tambah pening Dollah dan Ramasamy di kampung.
Isu kedua, penyasaran subsidi diesel tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak. Alasannya diesel digunakan untuk kenderaan hampir setiap keluarga di negeri berkenaan.
“Kita tangguh penyasaran subsidi di Sabah dan Sarawak kerana akan membebankan rakyat terbanyak,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Negara baru-baru ini.
Pilihan raya
Betul kah begitu. Sedangkan di sebaliknya ada ura-ura Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan tahun hadapan. Menurut Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor tempoh DUN sekarang sehingga akhir September 2025.
PRN Sabah sebelum ini diadakan pada 26 September 2020. Pilihan raya itu membabitkan 73 kerusi DUN di Sabah. PRN12 Sarawak pula diadakan pada 18 Disember 2021.
Maknanya Sarawak masih ada dua tahun lagi sebelum DUN penggal ke-12 berakhir.
Ramai menganggap jelas mesej itu tersembunyi di sebalik harga diesel di Borneo kekal. Alasan rakyat banyak menggunakan kenderaan diesel kurang berpijak.
Sedangkan di Semenanjung lebih banyak kenderaan enjin diesel. Bukan sekadar mengangkut rakyat marhaen, sebaliknya memunggah bekalan makanan dan bahan binaan.
Tanya seorang netizen adakah di Sabah dan Sarawak tidak berlaku penyeludupan diesel. “Bagus Kastam mereka,” ujarnya.
Berlaku perbezaan begitu ketara harga diesel di Semenanjung dan Borneo. Di Semenanjung RM3.35 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan RM2.15 seliter. Bezanya RM1.20 seliter.
Harga runcit terbabit bagi tempoh 13 Jun hingga 19 Jun 2024. Mungkin harga diesel naik lagi 20 Jun ini.
Seorang pemimpin Umno menyifatkan sekarang mereka (PH-BN) sedang berbulan madu dengan kuasa baru. PMX tengah enjoy dengan kuasa dalam tangan.
“Hapus GST atas desakan DAP…,” luahnya di medianya sosial. Seorang penyokong Umno pula menyebut ramai usahawan Melayu baru hendak bertatih berniaga, hari ini berdepan pula kenaikan harga diesel.
Ternyata kenaikan harga diesel menjadi hantu berantai. Ia memberi kesan berganda terhadap kehidupan rakyat. Kuasa diesel diguna mengangkut barang dari kilang kepada pemborong.
Kemudian daripada pemborong kepada peruncit. Segala kos diesel diserap terhadap setiap barangan dijual. Kesan akkhirnya jatuh bergolek di kaki pengguna.
Biarpun kerajaan Madani mendakwa dapat berjimat RM4 bilion setahun, namun poket rakyat pula makin mengepis.
Janji turun harga
Isu subsidi petrol dan diesel sebenarnya bukan perkara baharu. Malah pernah dianjurkan debat mengenainya.
Debat khas pernah diadakan pada 16 Julai 2008. Ia bertajuk ‘Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak’.
Debat itu menampilkan Anwar mewakili pembangkang. Dan wakil kerajaan pula Shabery Cheek. Ketika itu Shabery merupakan Menteri Penerangan kerajaan BN.
Pada debat terbabit Anwar mengemukakan teori kerajaan mampu turunkan harga minyak. Menurutnya harga bahan api boleh diturunkan 50 sen seliter sehari selepas sekiranya pembangkang memerintah.
Formulanya suntik RM5 bilion bagi menampung penurunan harga minyak. Tanya Pak Mat di Kuala Kubu Bharu mana menghilang teori tersebut sekarang.
Resepi turunkan harga minyak tidak berakhir di situ. Ia terus disebut Anwar. Ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) modal itu dijaja ke seluruh negara.
Teori tersebut diulang lagi pada 17 Julai 2022. Ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan ke-16 Anwar menyebut tidak berdaya untuk menurunkan harga minyak ketika ini kerana dia bukan Perdana Menteri.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai menjawab sindiran pihak tertentu yang mempertikai janji-janjinya.
Tiba-tiba pada 11 Jun 2024 Anwar menyifatkan tidak wajar mengaitkan harga minyak semasa dengan ucapannya 16 tahun lalu.
Isunya bukan sekali janji itu dilafaz. Ia bermula pada debat 2008, kemudian disebut pula ketika kempen PRU12. Dan diulang lagi pada Julai 2022.
Jelas teori tersebut diyakini Anwar. Namun selepas memiliki kuasa ketua eksekutif Malaysia, semua teori lama ghaib.
Maka tidak pelik apabila Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari USM menyebut kerajaan Madani perlu berjiwa besar untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat sekiranya tidak mahu penyasaran subsidi diesel menjadi beban politik PRU16.
“Ini kerana majoriti figura dalam kerajaan sekarang sebelum ini menolak idea penghapusan subsidi bahan api ketika mereka berada di blok pembangkang,” katanya.
Kesan langsung boleh dilihat pada 6 Julai ini. Rakyat di DUN Sungai Bakap akan menghantar isyarat jelas. Keluhan dan kecewa mereka akan dilakar di kertas undi. Kita tengok dan lihat nanti. – HARAKAHDAILY 13/6/2024
Ulasan
Catat Ulasan