Apalah makna keputusan lebih baik jika masih ramai ‘ponteng’ SPM


Apalah makna keputusan lebih baik jika masih ramai ‘ponteng’ SPM
KECEMERLANGAN pelajar yang mendapat A untuk semua mata pelajaran lebih bermakna sekiranya jumlah pelajar yang tidak hadir dan gagal mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dikurangkan.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh Abd. Razak Zakaria
4 Jun 2024, 8:00 am


PENGUMUMAN keputusan rasmi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bahawa pencapaian keputusan peperiksaan itu tahun ini lebih unggul dengan merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada tahun lalu.

Sebanyak 93.5 peratus atau 349,297 daripada 373,525 lepasan tingkatan lima layak mendapat sijil SPM 2024. Namun, di sebalik keunggulan yang dicanang, terdapat 10,160 calon tidak hadir menduduki peperiksaan dan 24,228 orang masih gagal mendapat sijil SPM.

Sememangnya menjadi kebanggaan kepada mana-mana pihak terhadap pencapaian yang memberangsangkan setiap tahun. Namun di sebalik kegembiraan itu, ada kekhilafan yang perlu ditangani segera oleh pihak yang berwajib, kerana ia akan memberi kesan jangka panjang yang tidak terjangkau oleh kotak fikiran kita.

Mengapa begitu ramai calon SPM tidak hadir untuk menduduki peperiksaan? Apa masalah yang menjadi penyebab kepada kegagalan mereka untuk menduduki peperiksaan awam sepenting itu yang bakal mencorak masa depan mereka? Apa tindakan yang sepatutnya diambil oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani kemelut ini?

Permasalahan yang terus muncul setiap tahun adalah kegagalan calon untuk mendapat sijil dalam peperiksaan awam SPM. Adakah kita tidak cuba untuk memikirkan satu langkah yang perlu bagi mengatasi masalah ini? Hampir setiap tahun puluhan ribu calon gagal dalam dua subjek teras bahasa Malaysia dan Sejarah bagi mendapatkan sijil.

Seolah-olah setiap tahun terus berulang keputusan yang sama tanpa ada perubahan yang dapat mengurangkan jumlah kegagalan itu. Apa tindakan yang seharusnya dilakukan di peringkat KPM bagi memastikan keadaan ini tidak terus berlanjutan?


Selepas negara kita merdeka, misi utama pendidikan adalah untuk mengurangkan kadar buta huruf yang tinggi kesan daripada pendudukan British yang hanya memberikan pendidikan secara ala kadar kepada penduduk Tanah Melayu. Misi ini berterusan sehingga penghujung abad ke-20.

Namun, abad ke-21 menjanjikan ruang pendidikan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Sepatutnya rakyat Malaysia lebih mengejar pendidikan dan menjadikan pendidikan sebagai alat untuk memacu masa depan yang lebih baik.

Justeru, kita harus memandang kemelut pelajar gagal mendapat sijil dan tidak mempunyai sijil SPM sebagai satu masalah yang patut ditangani segera kerana keperluan untuk mendapatkan pekerjaan adalah pengetahuan dan kemahiran.

Apa yang dilihat terhadap majoriti remaja sekarang, mereka nampaknya tidak peduli tentang masa depan. Ini kerana mereka terlalu selesa dengan apa yang mereka ada sedangkan jika mereka berjaya mendapat sijil SPM, laluan kerjaya dan memiliki masa depan yang lebih berkualiti dan bermakna.

Lebih memeranjatkan, ada juga remaja yang merasakan mereka boleh berjaya dalam hidup walaupun tanpa sijil SPM. Tambahan pula terpengaruh dengan kata-kata pempengaruh yang berjaya dalam hidup tanpa sijil SPM yang cemerlang. Justeru, mereka merasakan pendidikan yang diberikan di sekolah belum tentu menjamin kehidupan dan ditambah lagi dengan keadaan keluarga yang tidak menyokong untuk mereka terus belajar bagi mendapatkan sijil.

Janganlah kita terlalu berbangga dengan apa yang kita ada sekarang kerana ia tidak menggambarkan kualiti sebenar pendidikan di negara ini. Jika benar keputusan SPM yang diwartakan menunjukkan peningkatan yang baik, adakah ini bermakna kita telah mencapai tahap pendidikan yang baik dalam semua keadaan? Subjek Moral yang menunjukkan peningkatan paling tinggi contohnya, adakah ini menunjukkan murid-murid yang dilahirkan di sekolah mempunyai nilai moral yang tinggi?

Begitu juga dengan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang diuar-uarkan meningkat peratusannya dan mempunyai GPN yang lebih baik berbanding 2023. Jika itu keputusannya, pastinya kita tiada masalah dalam STEM dan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) selain mampu bersaing dengan negara tetangga lain yang lebih jauh ke hadapan.

Namun, ini tidak juga berlaku sebaliknya laporan daripada Bank Dunia baru-baru ini tentang kualiti pendidikan di negara kita masih lagi rendah berbanding Singapura dan Vietnam. Justeru, apa kebanggaan yang kita boleh canang di mata dunia tentang pendidikan di negara ini? Dan atas tiket apa keputusan SPM yang semakin baik tetapi tidak mengubah keputusan kita dalam STEM dan PISA?

BERTINDAK SEGERA

Terpanggil dengan keputusan SPM yang menunjukkan prestasi yang terus meningkat, kita harus sama-sama bertindak bagi mengatasi masalah calon yang gagal mendapatkan sijil setiap tahun.

Kecemerlangan pelajar mendapatkan jumlah A yang banyak dalam semua subjek akan menjadi lebih bermakna sekiranya jumlah pelajar yang tidak hadir dan yang gagal mendapat sijil SPM juga dapat dikurangkan.

Kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya menjadikan situasi ini sebagai batu loncatan untuk menjadikan pendidikan di negara ini lebih baik.

Bayangkan pelajar menghabiskan masa 12.5 tahun di sekolah dan di hujungnya mereka tidak ada satu sijil pun untuk dibanggakan, seolah-olah mereka tidak pernah ke sekolah selama ini.

Pendidikan untuk semua rakyat Malaysia seharusnya dijadikan matlamat utama kerajaan bagi melahirkan masyarakat berpendidikan dalam memacu negara ke arah yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang sebagaimana yang pernah diuar-uarkan suatu ketika dahulu.

Fikir-fikirkanlah untuk kebaikan kita bersama.-UTUSAN

DR. Abd. Razak Zakaria ialah Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC).

Ulasan