DUN Kelantan: Kelantan selesai 98 kes penebangan hutan secara haram



DUN Kelantan: Kelantan selesai 98 kes penebangan hutan secara haram
MOHD. NASSURUDDIN DAUD
Oleh YATIMIN ABDULLAH
5 Jun 2024, 10:37 am

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan pihaknya sudah menyelesaikan 98 daripada 137 kes penebangan hutan secara haram yang berlaku di negeri ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 lalu.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, baki 39 lagi masih dalam siasatan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, trend semakin menurun. Jika dilihat pada tahun 2020, terdapat sebanyak 47 kes dan telah menurun kepada 35 kes pada tahun 2021. Manakala pada tahun 2022 kes yang direkodkan adalah 33 kes dan menurun kepada 22 kes pada tahun 2023,” katanya semasa menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas – Chempaka) pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, melalui penguat kuasaan itu kerajaan negeri berjaya mengutip kompaun sebanyak RM1.38 juta dan mengenakan denda sebanyak RM101,000.

Katanya, pada masa sama Jabatan Perhutanan turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memulihkan semula kawasan terjejas.-UTUSAN

Ulasan