‘Hairan Kg Sri Makmur tak jadi isu utama PRK KKB’




‘Hairan Kg Sri Makmur tak jadi isu utama PRK KKB’
June 4, 2024

Share
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR: Peneroka bandar di seluruh negara perlu mengambil iktibar daripada peristiwa di Kampung Sri Makmur di Gombak, Selangor yang mula dirobohkan pada 27 Mei lepas kerana tidak mustahil akan berlaku di tempat mereka.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, peneroka bandar perlu dibantu sebelum perobohan dilaksanakan supaya mendapat penyelesaian yang adil.

Menurutnya, peneroka bandar perlu mendapat bantuan guaman kerana akan berhadapan dengan peguam pemaju, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan dan perlu ada pasukan yang mahir untuk membantu.

“Kita ada banyak peguam dan pakar-pakar yang perlu dikumpulkan untuk membantu mereka. Namun, ia bukan kerja yang mudah. Penduduk pula terdapat banyak kategori. Ada yang cuba mengambil kesempatan.

“Mungkin ada yang telah menjual rumah mereka dan datang semula apabila mendengar pampasan akan diberi. Ada pula yang memiliki rumah di tempat lain dan menyewakan rumah mereka. Kesemua ini perlu kita hadapi dan selesaikan.

“Mungkin ramai yang hari ini tidak tahu tentang perjuangan peneroka bandar pada tahun 80-an dan 90-an. Penduduk dan pimpinan turun padang mempertahankan perobohan. Ada yang sanggup duduk di hadapan jengkaut.

“Terdapat satu team (pasukan) yang kuat yang memberi tumpuan kepada nasib peneroka bandar. Nama-nama seperti Kampung Bukit Tembusu, Desa Hormat dan Kampung Berembang masih kekal dalam ingatan. Jangan kita lupa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau sebelum ini telah memberikan pandangan berdasarkan pengalaman sebagai Exco dan sebagai Pengerusi Lajnah Peneroka Bandar PAS Negeri Selangor pada tahun-tahun 90-an.

Namun menurutnya, tidak banyak yang dapat dilakukan kerana beliau bukan wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan serta beliau simpati melihat penduduk Kampung Seri Makmur kerana mereka memerlukan nasihat dan bimbingan.

Tambah beliau, beberapa pertemuan telah dibuat dengan salah satu kumpulan penduduk Kampung Sri Makmur pada 22 Mac lepas di Restoran Thaqwa, Taman Seri Gombak dan turut hadir ialah mantan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Ridzwan.

“Saya tidak pasti ada beberapa kumpulan tetapi penduduk yang saya jumpa malam tersebut adalah salah satu dari kumpulan itu. Satu lagi kumpulan telah menghubungi saya sejak bulan Mac 2022, memohon nasihat tentang masalah mereka.

“Wakil itu banyak menghubungi saya tetapi tentang hal-hal lain sejak tahun 2016. Mungkin mereka menghubungi saya kerana ketika saya Exco Perumahan Selangor (2008 – 2018),” imbas beliau yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor.

Beliau menyatakan, pada ketika itu kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan masalah penduduk Kampung Seri Temenggung yang berhampiran dengan Kampung Sri Makmur dan mereka )penduduk Kampung Seri Temenggung) telah ditawarkan untuk membeli Rumah Selangorku dengan harga subsidi.

“Ini adalah satu penyelesaian yang terbaik walaupun kejayaan-kejayaan seperti itu ketika kerajaan Pakatan Rakyat tidak diketahui ramai atau tidak mendapat publisiti meluas,” tegasnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Justeru, ungkap beliau, penduduk Kampung Sri Makmur sentiasa memaklumkan kepada beliau mengenai perkembangan Kampung Sri Makmur dan telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor bertarikh 30 Ogos 2023.

“Pada 3 Mei 2024, saya telah telah menerima jemputan untuk menyaksikan serahan memorandum daripada Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM) kepada Bilik Gerakan Utama N.06 Kuala Kubu Baharu Kerajaan Perpaduan.

“Saya hairan kerana isu Kampung Sri Makmur tidak menjadi isu utama pada Pillihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu. Pada saya, isu kampung ini adalah bagaikan bom jangka (time bomb) yang menunggu masa untuk meletup.

“Akhirnya pada 25 Mei, saya telah menerima mesej daripada penduduk bahawa perobohan akan dilaksanakan pada 27 Mei. Mereka memohon sokongan untuk perjuangan mereka.

“Sehubungan itu, saya telah forward mesej memohon solidariti bersama penduduk kepada seramai mungkin wakil-wakil rakyat di Selangor. Pada pandangan saya, sekiranya kita ramai-ramai turun, perobohan akan dapat ditangguhkan sehingga penyelesaian dapat dicapai.

“Saya rasa tidak perlu saya ulangi peristiwa selepas 27 Mei 2024 sebab ia telah dilaporkan oleh banyak media dan tersiar di dalam media sosial,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

Ulasan