Hari Keluarga jadi program tambatan hati – YB Zailah



Hari Keluarga jadi program tambatan hati – YB Zailah
June 1, 2024

MERSING: PAS Johor antara negeri terbaik dan boleh dijadikan contoh kepada negeri lain kerana memberi komitmen yang tinggi dalam program Hari Keluarga PAS.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang berjaya dan menunjukkan prestasi cemerlang.

“Saya bangga dengan komitmen setiap keluarga dan diharap dapat diteruskan, sehingga dapat melahirkan keluarga yang diberkati Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Penutup Hari Keluarga Peringkat Negeri Johor di Telok Gorek, di sini hari ini.

Menurutnya antara objektif lajnah itu adalah untuk saling mengenali susur galur dalam keluarga dan program hari keluarga menjadi tambatan hati untuk mengeratkan kasih sayang.

Beliau menyeru agar menghidupkan sunnah Rasulullah SAW antaranya solat jemaah dalam keluarga dan bawa anak-anak ke masjid.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga mengingatkan peserta supaya menghidupkan al-Quran dalam keluarga, serta menghafal al-Mathurat.

“Sentiasa makan berjemaah sebab masa itu boleh memberi nasihat kepada anak-anak, selain saling ingat-mengingati antara satu sama lain.

“Banyakkan doa kepada anak-anak sebab doa ibu tiada hijab supaya anak-anak menjadi soleh dan solehah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya setiap keluarga dapat memperkasakan keluarga masing-masing.

Katanya ini kerana terlalu ramai kes penceraian di Malaysia terutama mereka yang berkahwin di bawah lima tahun.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku dalam keluarga kita. Saya mahu semua keluarga perkasakan ilmu keluarga,” katanya.

Program Hari Keluarga itu turut menyediakan pertandingan untuk anak-anak di bawah usia 12 tahun dan juga pertandingan untuk keluarga, selain cabutan bertuah.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi serta Ketua As-Sabiqat Pusat, Fatimah Ismail. – HARAKAHDAILY 1/6/2024

Ulasan