Ibu bapa Zayn Rayyan direman seminggu, disiasat bawah Seksyen 302



Ibu bapa Zayn Rayyan direman seminggu, disiasat bawah Seksyen 302
ZAYN RAYYAN
Oleh MASZUREEN HADZMAN
2 Jun 2024, 7:45 am

PETALING JAYA: Polis menemukan bukti baharu dalam siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, pada Disember tahun lalu yang turut membawa kepada penahanan ibu bapa kanak-kanak autisme itu kelmarin.

Pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam pada pukul 10.25 pagi dan perintah reman diperoleh semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pasangan itu bagi melengkapkan siasatan kes tragis berkenaan yang mendapat perhatian ramai.

“Ibu bapa kanak-kanak itu direman seminggu bermula hari ini sehingga 7 Jun ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini semalam.

Difahamkan, penahanan itu dilakukan selepas siasatan berterusan dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis sejak hari pertama kes tersebut dilaporkan pada 5 Disember.

Kes tersebut menjadi tumpuan selepas siasatan secara besar-besaran dijalankan oleh pihak polis termasuk 86 individu diambil keterangan, 5,628 orang diperiksa dan PDRM turut mendapatkan bantuan daripada Polis Antarabangsa (Interpol).


Terbaharu, berpandukan hasil risikan sejak hari kejadian sehingga kini, telah membawa kepada penahanan ibu bapa kanak-kanak malang itu sebagai orang yang disyaki (OYDS).

Mengulas lanjut, Hussein berkata, keperluan untuk turun semula ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan termasuk rumah keluarganya di Damansara Damai di sini bergantung kepada soal siasat dijalankan.

“Setakat ini keterangan kedua-dua mereka diperlukan sebelum tindakan selanjutnya. Ia bergantung kepada hasil soal siasat nanti,” jelasnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili kedua-dua pasangan suami isteri tersebut, Mahmud Abdul Jumaat berkata, penahanan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dilakukan berdasarkan perkembangan terbaharu yang diperoleh dalam siasatan polis berhubung kes itu.

Menurut beliau, reman tujuh hari yang dibenarkan oleh Majistret Ainaa Muhammad Kamal semalam bagi membolehkan kedua-dua OYDS untuk membantu siasatan polis dengan lebih lanjut.

“Ada perkembangan terbaharu dari segi percakapan (rekod percakapan OYDS) sebelum ini dan termasuk juga ada beberapa perkembangan terbaharu hasil siasatan pihak polis yang telah ditemukan.

“Buat masa ini, kita tidak boleh buat sebarang spekulasi. Saya memohon semua pihak untuk bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat untuk menerima ujian ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat prosiding reman di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya belum mengetahui siapa yang bakal dituduh dan ia hanya diketahui sekiranya siasatan dilakukan pihak polis selesai.

“Apabila siasatan telah dilengkapkan, ia akan dihantar kepada pihak pendakwaraya dan mungkin ketika itu kita boleh tahu siapa suspek utama kes ini.

Tambah beliau, penahanan OYDS adalah satu perkara yang tidak dijangkakan.

Namun, kata beliau, pihaknya memberi seluas-luasnya ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan penuh telus dan terperinci untuk mendapatkan keadilan.

“Sudah pasti, polis boleh memohon reman buat kali pertama selama tujuh hari untuk melengkapkan siasatan.

“Sekiranya dalam tempoh tujuh hari ini tidak dapat melengkapkan siasatan, mereka boleh memohon untuk permohonan reman kali kedua,” jelasnya.

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada pukul 6.30 petang oleh keluarganya. – UTUSAN

Ulasan