Isu kenaikan harga diesel ‘tikam’ PH-BN di Nenggiri


Isu kenaikan harga diesel ‘tikam’ PH-BN di Nenggiri
June 21, 2024

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Kelantan yakin Perikatan Nasional (PN) mampu mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketuanya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kegagalan kerajaan Madani mengutamakan kebajikan rakyat menyebabkan mereka terpaksa berhadapan kenaikan harga barang secara berterusan.

Katanya, kenaikan harga diesel menjadi kemuncak kemarahan rakyat dan ia akan menjadi senjata yang bakal menikam kerajaan PH-BN.

Menurutnya juga biarpun DUN berkenaan pernah menjadi kubu kuat Umno sebelum ini, namun situasi itu sudah berubah sekarang.

“Rakyat Nenggiri dapat merasai sendiri kegagalan kerajaan Madani memerintah negara selepas diberi kuasa pada November 2022.

“Pada masa yang sama mereka melihat kejayaan kepimpinan ulama di Kelantan yang kini berusia 34 tahun,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu kata beliau Dewan Muslimat PAS Kelantan bersedia turun padang bagi membantu kempen di PRK Nenggiri. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

Ulasan