Kaji semula dasar 60:40 sains dan sastera



Kaji semula dasar 60:40 sains dan sastera

14 pelajar cemerlang SPM 2023 dari Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di Putrajaya, bergambar selepas menerima keputusan Isnin lalu. – mingguan/FAISOL MUSTAFA
Oleh DR. ANUAR AHMAD
2 Jun 2024, 9:07 am

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 baru sahaja diumumkan. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya mencapai keputusan cemerlang. Pada masa sama, terdapat lebih 85,000 pelajar gagal di dalam subjek Matematik. Ini satu jumlah yang besar.

Selain itu, sebahagiannya hanya mampu mencapai tahap lulus minimum dalam Matematik dengan gred D dan E menjadikan jumlah keseluruhan murid yang lemah Matematik mencecah hampir 190,000 orang. Malah lebih membimbangkan tahap pencapaian rendah juga dalam Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Negara kita kini berdepan dengan kekurangan jurutera dan saintis. Menurut laporan Majlis Kebangsaan Bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB), bagi mencapai negara berteknologi tinggi dan maju, negara kita memerlukan kira-kira 500,000 saintis dan jurutera pada 2020. Namun, sehingga kini, jumlah jurutera berdaftar hanya sekitar 70,000 orang atau 17 peratus berbanding sasaran MKPSB.

Ads by Kiosked

Bagi meningkatkan bilangan jurutera dan saintis negara, perkara pertama yang diperlukan negara mestilah mempunyai sumber manusia terdidik di dalam aliran Sains Tulen. Malangnya, kita kini berdepan dengan kemerosotan enrolmen di dalam aliran Sains Tulen di Tingkatan Empat.

Pada 29 Mei 2020, Pengerusi National STEM Movement, Prof. Datuk Dr. Noraini Idris, melaporkan hanya 19 peratus daripada kira-kira 447,000 calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memasuki aliran Sains Tulen apabila menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat.

Tambah beliau, disebabkan kemerosotan ini, dibimbangi banyak kuota pengajian membabitkan bidang sains di universiti tidak dapat dipenuhi kerana kekurangan calon daripada aliran ini dan menyebabkan negara tidak mampu menghasilkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang sains dan teknologi.


Malah lebih membimbangkan Utusan Malaysia pada 4 September 2023 melaporkan, bilangan murid yang memasuki aliran Sains Tulen merosot lagi kepada 15.2 peratus atau hanya 62,250 murid daripada 415,000 pelajar Tingkatan Tiga ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat bagi sesi 2023/2024.

Sebenarnya, usaha untuk meningkatkan bilangan murid dalam aliran Sains Tulen telah lama dilakukan. Paling awal, 10 tahun selepas merdeka iaitu pada 1967. Kerajaan ketika itu menubuhkan Jawatankuasa Peranchangan Pelajaran Tinggi yang mencadangkan negara menyasarkan kadar peratusan pelajar aliran Sains tulen berbanding Sastera dengan nisbah 60:40.

Cadangan ini diterima Kabinet dan sejak 1967, dasar 60:40 dijadikan asas kepada perancangan dalam meningkatkan bilangan murid di aliran Sains Tulen. Malah dasar 60:40 ini juga menjadi salah satu intipati utama di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


Ads by Kiosked

Bagi langkah segera untuk meningkatkan bilangan murid di dalam aliran Sains Tulen, antara 1971 sehingga 1973, kerajaan membina 10 Sekolah Menengah Sains Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara di seluruh negara. Selain Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga pada 1990-an menyediakan pelbagai peruntukan untuk menganjurkan program meningkatkan minat dan kesedaran murid dan ibu bapa berkaitan kepentingan ilmu Sains dan Matematik.

Sejak 10 tahun lalu, nisbah murid peringkat menengah yang mengambil aliran Sains Tulen semakin jauh tersasar daripada matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menurut kajian pasukan penyelidik dari Fakulti Pendidikan UTM yang diketuai Profesor Fatin Aliah Phang, data enrolmen murid dalam aliran Sains Tulen antara 1981 hingga 2010 menunjukkan peratusan lebih tinggi. Misalnya, pada 2005, kadar murid di dalam aliran itu ialah 31.22 peratus dan kekal pada kadar di atas 30 peratus sehingga 2010.

Ironinya, sebaik sahaja Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dilancarkan pada 2013, dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah dimulakan pada 2012, trend penurunan kadar murid di dalam aliran Sains Tulen bermula sehingga merosot teruk pada 2023 dengan kadar serendah 15.2 peratus. Persoalannya, apakah PPPM 2013-2025 dan pelaksanaan KSSR dan KSSM gagal memberi impak positif kepada dasar 60:40 sehingga kadar murid di dalam aliran Sains Tulen merosot ke tahap lebih rendah berbanding era pelaksanaan kurikulum KBSR dan KBSM sebelumnya?

Pada Februari 2012, KPM menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera. Jawatankuasa ini menyenaraikan 61 perakuan untuk meningkatkan enrolmen murid di dalam aliran Sains Tulen di sekolah menengah. Antaranya, menyemak semula hala tuju pendidikan sains dan teknologi dan definisinya, serta menambah bilangan waktu pembelajaran dan pengajaran bagi semua mata pelajaran Sains Tulen daripada empat kepada lima waktu seminggu.

Bagi memantapkan kemahiran pedagogi guru Matematik dan Sains, kerajaan bersedia membina laluan kerjaya dan memberi pengiktirafan kepada guru sains dan teknologi yang setimpal dengan kelulusan akademik mereka, serta memastikan kurikulum latihan guru yang menjurus kepada kandungan kemahiran dalam bidang Sains Tulen dan teknologi.

Selain itu, KPM juga akan memulakan kerjasama dengan pusat pendidikan sains seperti Pusat Sains, Petrosains dan Planetarium untuk mempergiatkan kempen, pameran dan aktiviti melibatkan guru serta ibu bapa bagi menggalakkan murid meminati aliran Sains Tulen.

Semua usaha ini mestilah bermula dengan pendekatan pembelajaran dan silibus yang menarik dan menyeronokkan dalam subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah.

Dasar 60:40 Sains dan Sastera ini tujuannya sangat baik, untuk meningkatkan bilangan murid dalam aliran Sains Tulen supaya pada akhirnya sumber manusia berkelulusan dalam bidang sains dan teknologi akan bertambah ramai. Satu wawasan negara yang memandang jauh ke depan.

Bagaimanapun, setelah begitu lama dilaksanakan, barulah disedari sukar untuk dasar ini dijayakan. Akhirnya, timbul cadangan baru dengan menjadikan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai ganti kepada Sains Tulen di dalam dasar 60:40 tersebut.

Sedangkan keluaran Sains Tulen dan STEM mempunyai fungsi berbeza di dalam pembangunan sumber manusia. Sains Tulen menyediakan sumber manusia berpengetahuan tinggi di dalam bidang sains berasaskan ilmu Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Sebab itu, dasar 60:40 ini mesti dikaji semula. Ada dua pilihan. Pertama, mansuhkan terus jika dirasakan sudah tidak relevan dan tidak mampu lagi dijayakan. Pilihan kedua, teruskan dasar ini dengan merangka semula pelan pelaksanaan Dasar 60:40 Sains Tulen dan Sastera yang lebih baik dan benar-benar berkesan.

Ads by Kiosked

Dr. Anuar Ahmad ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UKM dan Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara.

Ulasan