Kapal LCS pertama TLDM berjaya diluncurkan ke air

Kapal LCS pertama TLDM berjaya diluncurkan ke air

04 Jun 2024 02:34pmMasa membaca: 4 minit

Kapal LCS pertama TLDM berjaya diluncurkan ke air mengikut jadual ditetapkan. Foto Bernama


LUMUT - Kemajuan kerja pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal tersebut berjaya diluncurkan ke permukaan air seperti jadual kontrak pada 23 Mei lalu di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) di sini selepas mendapat persetujuan syarikat mereka bentuk, Naval Groups dan badan kawal selia kualiti, Bureau Veritas.


Mohamed Khaled (tengah) semasa mengadakan lawatan ke limbungan LUNAS sempena lawatan kerjanya ke Pangkalan TLDM Lumut pada Isnin bagi meninjau lebih dekat LCS pertama yang sedang giat disiapkan.




Menurutnya, proses berkenaan penting bagi menguji kestabilan dan keutuhan kapal selain membolehkan pihak limbungan menyiapkan keperluan integrasi sistem sebelum pelaksanaan pelbagai ujian platform dan sistem kombat yang dilaksanakan penghujung tahun ini.

"Saya gembira dengan perkembangan ini kerana menunjukkan LCS pertama ini telah menepati peristiwa penting yang ditetapkan mengikut perancangan iaitu pada Mei tahun ni sewajarnya melalui proses diluncur ke air.


LCS pertama sedang melalui proses kerja-kerja pemasangan peralatan dan perkakas atas kapal antaranya sistem komunikasi dan meriam.




"Daripada (proses peluncuran) inilah kita akan lihat sama ada ianya menepati perancangan dari aspek reka bentuk dan sebagainya atau perlu ditambah baik," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke limbungan LUNAS sempena lawatan kerjanya ke Pangkalan TLDM Lumut di sini pada Isnin.

Lawatan yang turut dihadiri Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob itu bagi meninjau lebih dekat LCS pertama yang sedang giat disiapkan.






LCS pertama berjaya diluncurkan ke permukaan air seperti jadual di Limbungan LUNAS pada 23 Mei lalu.





Mohamed Khaled berkata, kapal frigate kelas Maharaja Lela itu sedang melalui proses kerja-kerja pemasangan peralatan dan perkakas atas kapal antaranya sistem komunikasi dan meriam.

Katanya, siap sahaja proses pemasangan yang dijangka mengambil masa sehingga tahun depan, LCS pertama terbabit beralih kepada pemeringkatan kemajuan terakhir iaitu menjalani pelbagai ujian platform di pelabuhan dan laut.


"Penilaian (ujian) sudah tentu akan makan masa kerana menjadi kepentingan kita untuk memastikan kapal ini selamat dan sentiasa dalam keadaan kuat serta kukuh.

"Apatah lagi dalam soal menjalankan tugas sama ada rondaan, latihan dan menjaga kedaulatan negara daripada ancaman," katanya.


LCS pertama berjaya diluncurkan ke permukaan air seperti jadual di Limbungan LUNAS pada 23 Mei lalu.




Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!






Beliau bagaimanapun memberi jaminan, penyerahan kapal LCS pertama kepada TLDM dapat dilakukan pada 2026 seperti pernah diumum sebelum ini.

Ujarnya, kemajuan kerja pembinaan bagi kapal LCS kedua hingga kelima pula masih mengikut perancangan dan kapal-kapal ini dijangka diserahkan mengikut jadual yang dirancangkan bermula 2027 hingga 2029.

"Kita perlu faham, kapal ini bukan seperti kereta yang semua dah siap di situ. Proses penilaian pun guna kaedah berbeza.

"Sekurang-kurangnya di bawah penyelesaian baru kerajaan ini yang mana kementerian kewangan ambil alih dan serah kepada LUNAS, kita dapat lihat kapal pertama telahpun diluncurkan," katanya.

Ulasan