Kedah akan jadi negeri paling bersih di Malaysia

SUNGAI PETANI: Kedah akan tampil sebagai negeri terbersih di Malaysia apabila usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar dilaksanakan secara berterusan di samping usahasama semua pihak menjayakannya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan demikian pada ucapan perasmian sempena Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Kedah di Dataran Tsunami, Kuala Muda, di sini semalam.

Katanya, usaha itu sejajar dengan pemilihan Kedah sebagai tuan rumah pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan yang akan akan diadakan di Langkawi, Oktober depan.

Menurut beliau, semua pihak perlu bersama menjaga kebersihan dan tidak sesuka hati membuang sampah merata-rata agar bumi ini diwarisi kepada generasi akan datang dalam keadaan bersih dan seimbang.

“Budaya suka membuang sampah merata-rata perlu dibuang. Jangan tauk (buang) sampah ikut suka. Ada yang lempaq tepi tong sampah. Buang tu biaq betul-betul masuk dalam tong sampah.

“Satu lagi yang suka bawa sampah buh (letak) atas bonet kereta. Nak buh dalam kereta takut kereta dia busuk. Sampah jatuh berselerak di jalan. Habis segala ‘pampers’ anak, sisa makanan berselerak,” kesalinya.

Perbuatan itu kata beliau, bukan sahaja mengundang pencemaran dan bau busuk, malah menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai yang lalu lalang di tempat berkenaan.

Ujarnya lagi, walaupun kerajaan negeri menyediakan petugas untuk menguruskan sampah-sampah berkenaan, tetapi orang ramai diminta bekerjasama membuangnya di tempat yang disediakan.

“Ada yang buat aduan kat (dekat) saya. Yalah, depa (mereka) dok ‘jogging’ situ, sampah berlambak berselerak, tentulah depa marah. Tapi saya rasa yang buat perangai lagu tu (macam tu) bukan orang Kedah.

“Orang negeri ni mana pengotoq sampai lagu tu, ni mesti orang negeri lain,” seloroh Sanusi yang juga ADUN Jeneri pada program dianjurkan dengan kerjasama sebuah NGO alam sekitar, Yayasan Strategik Lestari.

Tegasnya lagi, setiap orang perlu menyemai semangat dan azam bersungguh-sungguh menjaga alam sekitar kerana alam ibarat tubuh badan yang perlu dijaga sebaiknya

Walaupun alam ini katanya, dijadikan Allah SWT begitu kompleks, namun wujudnya ikatan yang saling bergantungan dalam kalangan manusia dan haiwan serta melengkapi untuk membentuk keseimbangan.

Justeru ujarnya, pastikan setiap rangka pembangunan yang dilaksanakan seimbang serta memulihara alam sekitar kerana ia penting untuk generasi akan datang.

Jelas Sanusi, sehingga ini Kedah berjaya mengekalkan 36 peratus buminya diliputi hutan hujan daripada 50 peratus yang disasarkan oleh Malaysia.

“Kena pakat-pakatlah usaha supaya bumi yang kita dia tinggal sekarang ini dapat diwariskan kepada anak cucu kita dalam keadaan lebih selamat dan seimbang.

“Marilah bersama-sama kita menghijaukan alam dan diri kita sama ada hati dan fikiran. Kalau lain tu tak berapa nampak. Air laut ada biru ada hijau. Colour merah tak ada.

“Jadi kita nak ‘kehijauan’ terus kekal di negeri Kedah ini,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/6/2024

Ulasan